KUALA LUMPUR – Festival Kerjaya dan Latihan Industri yang dianjurkan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) mampu memberikan peluang kepada pelajar serta graduan universiti dalam meneroka pekerjaan.
Menurut Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Kol (B) Prof. Dr Khairul Amali Ahmad, siri festival itu juga mencerminkan kepentingan kerjasama strategik antara universiti dan industri dalam memperkasakan kebolehpasaran graduan UPNM.
“Lebih 40 syarikat-syarikat yang melibatkan diri dengan aktiviti kita hari ini dan secara puratanya lebih 500 peluang pekerjaan dan latihan industri yang dapat disediakan kepada pelajar yang berminat.
“Kalau mengikut peratusan kebolehpasaran graduan, KPT memang menetap dan memantau graduan negara kita di UPNM antara yang teratas.
“Bagi tahun lepas, puratanya lebih 99 peratus kebolehpasaran graduan kita yang mendapat kerja sebaik mereka menamatkan pengajian,” katanya selepas melancarkan Festival Kerjaya dan Hari Internship 2025 @MYFutureJobs di UPNM hari ini.
Sebanyak 40 syarikat dan organisasi daripada pelbagai industri telah menyertai festival kali kelapan ini dengan menawarkan lebih daripada 1,000 peluang pekerjaan dan latihan industri.
Syarikat-syarikat termasuklah dari sektor pertahanan, kejuruteraan, teknologi maklumat, dan pengurusan, perniagaan yang akan memberi peluang luas kepada para pelajar UPNM.
Tambah Khairul, usaha sebegini amat membantu para graduan UPNM untuk memasarkan diri masing-masing ke dunia pasaran pekerjaan dan merasai sendiri cabaran untuk mendapatkan pekerjaan.
“Kita tidak melepaskan graduan kita dengan sendirinya kita menyediakan platform sebegini dan kita juga bukan sahaja menggalakkan mereka mencari pekerjaan sendiri tetapi juga di tahap latihan industri itu sebabnya banyak syarikat daripada latihan industri itu mereka boleh gunakan sebagai satu kaedah untuk mereka memilih pekerja.
“Bila kita tingkatkan jumlah pelajar yang dapat latihan industri maka peluang untuk mereka mendapat tempat sebagai pekerja tetap lebih tinggi,” jelasnya.
Jelas beliau lagi, karnival itu bukan sahaja berjaya sebagai platform pencarian kerjaya malah menjadi satu langkah signifikan dalam memastikan graduan UPNM lebih bersedia dan berdaya saing dalam pasaran pekerjaan. – MalaysiaGazette