JAKARTA- Indonesia mengekalkan larangan penjualan iPhone 16 dengan mengatakan rancangan Apple Inc untuk membina kilang AirTag tempatan bernilai AS$1 bilion tidak mencukupi bagi memenuhi syarat pelaburan di republik itu.
Undang-undang kandungan Indonesia mensyaratkan Apple untuk mengeluarkan sebahagian daripada telefon pintar mereka atau komponennya di negara itu, sedangkan menurut Menteri Agus Gumiwang Kartasasmita, AirTag hanyalah sebuah aksesori.
“Setakat tengahari ini, kerajaan tidak mempunyai sebab untuk mengeluarkan sijil kandungan tempatan yang membolehkan Apple menjual peranti terkenalnya di Indonesia.
“Apple masih perlu berunding dengan kami supaya kami boleh mengeluarkan sijil berkenaan,” katanya dalam satu taklimat hari ini.
Menurut Kartasasmita, Apple boleh disekat kerana tidak mematuhi undang-undang pelaburan tempatan secara berterusan.
Bagaimanapun katanya, tindakan tersebut adalah langkah terakhir yang bakal diambil kerajaan.
“Kami akan terus melihat cara dan jalan lain,” katanya sambil menambah kerajaan sudah pun menghantar cadangan balas kepada Apple.
Apple sebelum ini memberi cadangan untuk membina sebuah kilang menjelang 2026 dan memulakan pengeluaran AirTags, sebuah peranti yang membolehkan pengguna menjejaki bagasi, haiwan peliharaan dan barangan lain.- Agensi