KUALA LUMPUR – Insiden kebocoran bumbung di Axiata Arena semasa perlawanan pusingan pertama Terbuka Malaysia semalam adalah perkara yang amat memalukan dan tidak sepatutnya berlaku.
Lantaran itu, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) wajar memberi penjelasan segera, kerana kejadian itu mencalarkan imej Malaysia di mata dunia yang dilihat tidak melaksanakan persediaan rapi bagi penganjuran sukan dan melibatkan aspek keselamatan serta nyawa manusia.
Timbalan Ketua Pemuda MCA, Mike Chong mendakwa ini bukan kali pertama fasiliti sukan mengalami kerosakan semasa acara antarabangsa.
Semasa Pesta Bola Merdeka 2023, terdapat insiden rumput koyak ketika perlawanan Malaysia dengan India di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Terdapat juga isu yang membabitkan Stadium Hoki Nasional, di mana acara sukan bertembung dengan acara konsert, sehingga membangkitkan kebimbangan berlaku kerosakan kepada rumput yang bakal menjejaskan perlawanan hoki.
“Oleh itu, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh tidak boleh sekadar memohon maaf sahaja, sebaliknya perlu memberi jaminan perkara memalukan ini tidak akan berlaku, apatah lagi apabila membabitkan acara antarabangsa yang ana Malaysia menjadi tumpuan dunia,” katanya dalam kenyataan di sini.
Chong menambah, KBS juga perlu memberi penjelasan atas kerosakan infrastruktur sukan baru-baru ini.
“Adakah ini kerana KBS gagal mendapatkan peruntukan daripada kerajaan untuk menyelenggara dan menambah baik fasiliti tersebut? Jika peruntukan ada, beliau harus menjawab mengapa fasiliti tersebut masih rosak? Jika peruntukan tidak ada, maka mengapa KBS gagal mendapatkan peruntukan?,” soalnya. – MalaysiaGazette