JOHOR BAHRU – Johor akan bekerjasama sekali gus menarik pelaburan dari Qatar dalam usaha membangunkan sektor pelancongan bertaraf global.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, kerjasama bersifat menang menang antara Johor dan Qatar itu akan diterokai menerusi Tourism Qatar.
Menurut beliau, kerjasama kerajaan negeri dengan Tourism Qatar itu dimulai dengan lawatan kerja beliau bersama-sama wakil kerajaan negeri selama dua hari di negara berkenaan bermula hari ini.
“Saya bersama-sama delegasi kerajaan negeri Johor selamat tiba di Qatar bagi mengadakan lawatan kerja selama dua hari. Lawatan kerja dimulakan dengan mengadakan pertemuan bersama His Excellency Saad Ali Al Kharji iaitu Pengerusi Pelancongan Qatar dan Pengerusi Lembaga Pengarah Visit Qatar.
“Pertemuan ini membuka ruang untuk meneroka kerjasama strategik dalam pembangunan produk pelancongan yang mampu memberi impak besar kepada ekonomi Johor dan Qatar.
“Ini termasuk pelaburan dalam infrastruktur pelancongan, hotel bertaraf antarabangsa, serta pertukaran kepakaran dalam sektor pelancongan yang kini menjadi salah satu teras utama ekonomi negeri Johor,” katanya dalam hantaran Facebook miliknya hari ini.
Onn Hafiz berkata, Qatar Tourism telah berjaya membina destinasi-destinasi ikonik seperti Muzium Seni Islam dan Qatar National Museum yang menjadi tarikan utama.
Justeru katanya, kerajaan negeri yakin dengan potensi dan kekayaan yang dimiliki Johor dalam aspek sejarah, budaya, dan alam semula jadi seperti kepulauan di Mersing, keindahan pantai Desaru serta taman-taman negara, negeri ini mampu mencontohi kejayaan Qatar dalam mencipta produk pelancongan bertaraf dunia.
Menerusi potensi pelaburan dan kerjasama Qatar Tourism itu, beliau yakin Johor dapat memperkukuh sektor pelancongan dan meningkatkan daya saingnya sebagai destinasi pelancongan global.
Jelas Menteri Besar Johor, ini termasuk membuka peluang pekerjaan dan meningkatkan ekonomi negeri.
“Seiring dengan hasrat kerajaan negeri menjadikan Johor sebuah negeri maju menjelang tahun 2030, segala usaha yang dijalankan ini akan memastikan Johor berada di peta pelancongan dunia, menawarkan pengalaman yang unik dan bertaraf antarabangsa kepada para pelancong.
“Semoga dengan sokongan semua pihak, segala usaha yang dijalankan ini akan meletakkan Johor di peta pelancongan dunia. Insya-Allah, kita akan menyaksikan Johor diangkat sebagai destinasi pelancongan bertaraf antarabangsa menjelang tahun 2030,” ujarnya.- MalaysiaGazette
Caption gambar: Onn Hafiz (dua kanan) melakukan pertemuan dengan pihak Tourism Qatar sempena lawatan kerja selama dua hari di Qatar bermula hari ini