KUALA LUMPUR – Seorang juruterbang syarikat penerbangan Malaysia mengalami kerugian lebih RM1 juta selepas terpedaya dengan sindiket pelaburan tidak wujud melalui laman sosial Instagram.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, mangsa mula terjebak dengan sindiket itu selepas terjumpa satu iklan pelaburan yang didakwa mampu memberikan pelbagai faedah dan pulangan wang yang lebih tinggi, pada Oktober tahun lepas.
“Mangsa diberikan satu pautan untuk ke laman sesawang oleh suspek dan diajar cara menggunakan aplikasi.
“Mangsa yang tertarik mula membuat 34 transaksi ke dalam 10 akaun bank berbeza yang diberikan oleh suspek dari Oktober 2024 sehingga Disember 2024,” katanya.
Bagaimanapun, mangsa yang berusia 50 tahun hanya mendapatkan pulangan sekali sahaja, iaitu sebanyak RM4,300 daripada keseluruhan wang yang dilaburkan.
Beliau berkata, mangsa telah dimaklumkan oleh suspek untuk melakukan pengeluaran daripada aplikasi itu dengan suspek hanya perlu menekan ikon withdrawal, memasukkan amaun yang mahu dikeluarkan dan wang akan dimasukkan ke dalam akaunnya dalam tempoh 24 jam.
“Namun selepas tiada sebarang kemasukan wang ke dalam akaunnya dan berasa tertipu, mangsa tampil membuat laporan polis,”.
“Susulan itu, polis telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” jelasnya. – MalaysiaGazette