Bangunan Kementerian Kewangan di Putrajaya. Foto SADIQ SANI, 18 OKTOBER 2024.

KUALA LUMPUR – Para pelabur yang melabur di Zon Ekonomi Khas Johor Singapura (JS-SEZ) berpeluang menikmati kadar cukai korporat istimewa bermula 1 Januari 2025.

Pengumuman itu dibuat oleh Kerajaan Negeri Johor dan Kementerian Kewangan (MoF) sebagai ikhtiar untuk merangsang pertumbuhan ekonomi dan meningkatkan daya saing negara.

Dalam kenyataan bersama, MoF dan Kerajaan Negeri Johor berkata, pakej insentif cukai JS-SEZ ini telah disediakan untuk menarik pelaburan bernilai tinggi ke Johor, mengambil kira keperluan dinamik pelabur global dan domestik.

Di bawah pakej insentif itu, syarikat yang membuat pelaburan baharu dalam aktiviti pembuatan dan perkhidmatan yang layak seperti AI and quantum computing, peralatan perubatan, aeroangkasa dan perkhidmatan hab global, berpeluang menikmati kadar cukai istimewa 5% bagi tempoh sehingga 15 tahun.

Pelabur juga menerima insentif tambahan diperuntukkan untuk perniagaan yang beroperasi di kawasan flagship yang telah ditentukan di JS-SEZ.

Selain itu, kadar cukai istimewa 15% bagi tempoh 10 tahun diperuntukkan untuk pekerja berpengetahuan yang layak di JS-SEZ.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, pakej insentif JS-SEZ memberikan rangsangan untuk meningkatkan kedudukan Johor sebagai destinasi pelaburan global.

“Kerajaan Madani dan Kerajaan Negeri Johor telah mengambil langkah proaktif untuk memberikan sokongan penuh kepada JS-SEZ dalam usaha menarik pelaburan.
Dengan pelbagai kelebihan yang dimiliki oleh negeri ini, JS-SEZ akan memperkukuh kedudukan Johor sebagai hab perdagangan dan maritim utama di rantau ini,” tambah
beliau.

Selain daripada pakej insentif cukai, Kerajaan Negeri Johor juga bersetuju untuk memperkenalkan duti hiburan pada kadar yang lebih rendah bermula 1 Januari 2025.

Sementara itu, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, pakej insentif cukai JS-SEZ mencerminkan komitmen kerajaan untuk mewujudkan
hubungan manfaat bersama yang akan melonjakkan Malaysia sebagai destinasi pelaburan utama di rantau ini.

Beliau turut menyatakan Kerajaan mengalu-alukan perniagaan global untuk meneroka peluang besar yang ditawarkan oleh Malaysia.

“Dengan kerjasama antara Malaysia dan Singapura, pakej insentif JS-SEZ ini akan mempercepatkan kemasukan pelaburan berkualiti dalam sektor-sektor utama dan
mewujudkan pekerjaan berpendapatan tinggi, dengan memanfaatkan kekuatan dan sinergi antara Johor dan Singapura,” katanya.

Pakej insentif cukai JS-SEZ ini melengkapi Kerangka Insentif Pelaburan Baharu yang diumumkan dalam Belanjawan 2025 oleh YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana
Menteri dan Menteri Kewangan, yang bertujuan untuk merangsang pelaburan dalam industri bernilai tinggi dan dengan pertumbuhan mampan seterusnya merangsang
pembangunan ekonomi yang saksama di seluruh Malaysia.

Direka untuk memastikan ketelusan dan aksesibiliti selaras dengan amalan terbaik antarabangsa, pakej insentif cukai ini mencerminkan kerjasama erat antara
Kementerian Kewangan, Kerajaan Negeri Johor, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Lembaga Pembangunan Wilayah Iskandar (IRDA),
Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), TalentCorp, dan lain-lain pihak berkepentingan.

Bagi memudahcara proses permohonan pelaburan yang lebih pantas di JS-SEZ, kerajaan telah menubuhkan Invest Malaysia Facilitation Centre Johor (IMFC-J) untuk
menyelaras proses pelaburan secara menyeluruh, meliputi permohonan dan kelulusan, fasilitasi pelaburan, dan pelaburan semula.

Butiran lanjut mengenai insentif cukai dan zon flagship akan diumumkan dalam masa terdekat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here