KUALA LUMPUR – Kementerian Luar Negeri (KLN) memaklumkan sehingga kini, tiada laporan diterima berhubung kebakaran hutan di Los Angeles, Amerika Syarikat yang membabitkan rakyat Malaysia.
Bagaimanapun katanya, Wisma Putra melalui Konsulat Jeneral Malaysia di Los Angeles akan terus memantau rapi perkembangan kebakaran tersebut.
“Rakyat Malaysia yang tinggal atau berada di kawasan terjejas dinasihatkan untuk berhati-hati, mematuhi arahan pemindahan tempatan, dan mendapatkan maklumat terkini melalui saluran rasmi.
“Kementerian turut menasihatkan rakyat Malaysia di Los Angeles untuk mendaftar kehadiran mereka melalui E-Konsular dan kekal berhubung dengan Konsulat Jeneral untuk mendapatkan maklumat dan bantuan terkini,” kata kementerian itu, lewat petang tadi.
Untuk rekod, kebakaran ini telah memaksa lebih daripada 30,000 orang meninggalkan kediaman mereka setakat hari Selasa dan berlanjutan sehingga Rabu.
Kebakaran tersebut telah memusnahkan banyak bangunan dan membakar hampir 3,000 ekar (1,200 hektar) kawasan di Pacific Palisades.
Kementerian itu turut berkata pihaknya akan terus memantau perkembangan dan menyediakan maklumat terkini sekiranya perlu.
Untuk bantuan konsular: Konsulat Jeneral Malaysia di Los Angeles
Alamat: 777 South Figueroa Street, Suite 600, Los Angeles, California
Telefon: +1-213-892 1238
E-mel: [email protected] – MalaysiaGazette