LONDON – Kelab Serie A, AC Milan dilaporkan antara beberapa pasukan yang akan mengadakan perbincangan untuk menandatangani penyerang Manchester United, Marcus Rashford secara pinjaman dalam jendela perpindahan ketika ini.
Pakar perpindahan bola sepaka, Fabrizio Romano dalam laporannya berkata, lebih banyak kelab dari Eropah dijangka berhubung dengan United untuk mengenal pasti cara bagaimana mereka boleh merealisasikannya.
Antaranya Borussia Dortmund dan Galatasaray, namun laporan awal mengatakan Rashford menolak lamaran kelab dari Turkeye kerana dia hanya mengutamakan kelab yang bermain di kancah lima liga teratas sahaja.
“Terkini, wakil Rashford telah pun tiba di Itali awal pagi tadi. Perbincangan akan dibuat pada hari ini yang mana menjurus kepada butiran perpindahan secara pinjaman.
“Bukan itu sahaja, pada hari yang berikutnya Dortmund pula akan terlibat untuk rundingan dengan wakil pemain terbabit,” katanya di media sosial.
Sementara itu, situasi masa depan Rashford di Old Trafford semakin ‘panas’ apabila jendela perpindahan Januari ini dibuka selepas pengendali United, Ruben Amorim telah mengecualikan pemain berusia 27 tahun itu daripada skuad perlawanan untuk kali kelima dalam enam perlawanan.
Dengan alasan kecederaan menjadi punca ketiadaannya, Rashford tidak bermain untuk United sejak dikeluarkan dalam kemenangan 2-1 ke atas Viktoria Plzen pada 12 Disember lalu dan semakin jelas dia mungkin tidak akan mewakili kelab zaman kanak-kanaknya lagi.
Rashford mungkin mengikuti langkah keluar dari Red Devils seperti rakannya Sancho, yang kembali ke Dortmund secara pinjaman untuk separuh kedua musim lalu selepas konflik terbuka dengan Erik ten Hag.
Namun gaji Rashford yang tinggi sebanyak £325,000 (RM1.8 juta) seminggu, sebahagian daripada kontrak baru sehingga 2028 yang ditandatanganinya pada 2023, mungkin menjadi penghalang utama.
United dilaporkan bersetuju untuk menanggung separuh dari gaji Rashford, namun menjadi persoalan adakah kelab berminat mampu membayar jumlah itu masih belum diketahui. – Agensi