KUALA LUMPUR – Kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, mengenai titah adendum terhadap Datuk Seri Najib Razak, dianggap sebagai usaha untuk melepaskan diri daripada tanggungjawab.
Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Tun Faisal Ismail Aziz menyifatkan kenyataan berkenaan merupakan bukti kegagalan kerajaan untuk bersikap jujur dan telus dalam menangani persoalan rakyat.
“Pada saya kenyataan itu, kenyataan melepaskan diri sebab dia senang nak beritahu bukan salah dia sebab titah adendum tu dia tak dapat.
“Yang kedua mungkin dia tak faham yang kita cakap pasal titah adendum, yang dia tunjukkan body, memang la dalam body tu tak ada cerita tahanan rumah. Yang ada cuma pengampunan, diskaun.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, di sini, hari ini.
Sebelum ini, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menegaskan, Jabatan Penjara tidak menerima sebarang titah tambahan Yang di-Pertuan Agong ke-16 yang membenarkan Bekas Perdana Menteri itu menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah.
Sebaliknya, Saifuddin Nasution berkata, pihak penjara hanya menerima surat daripada Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri berkaitan pengurangan hukuman dan denda membabitkan Najib.
Dalam pada itu, Tun Faisal turut menggesa Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil memberi penjelasan mengenai pihak-pihak dalam Lembaga Pengampunan yang membuat keputusan untuk tidak mengiktiraf Titah Adendum serta pihak yang memutuskan ia tidak sah untuk dilaksanakan.
Katanya, Ahli Mesyuarat Lembaga Pengampunan diketahui Yang di-Pertuan Agong sebagai Pengerusi manakala Menteri Wilayah Persekutuan, Peguam Negara, dan tiga anggota lantikan yang tidak didedahkan, dengan urusetia diuruskan oleh Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri.
“Selain Yang di-Pertuan Agong, hanya terdapat dua individu yang berkemungkinan membuat keputusan tersebut, iaitu Menteri Wilayah Persekutuan atau Peguam Negara. Kedua-dua mereka adalah pihak yang berperanan di bawah Jabatan Perdana Menteri.
“Dan siapa yang mengarahkan supaya hal yang berkaitan titah ini disembunyikan daripada rakyat, tidak dijawab dengan betul dalam dewan rakyat dan sampai terpaksalah rakyat berhimpun semata-mata nak tahu titah ini wujud atau tidak.
“Jadi siapa? Menteri Wilayah atau Peguam Negara. Inilah dua orang yang patut dipertanggungjawabkan,” jelasnya.
Semalam, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, menyangkal dakwaan bahawa Kerajaan Perpaduan mengabaikan Titah Adendum berkenaan pengurangan hukuman dan denda ke atas bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Jelas Fahmi, perintah pengampunan tersebut mempunyai cop mohor dan tandatangan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, dan Kementerian Dalam Negeri telah menerima perintah pembebasan tersebut mengikut prosedur yang betul. – MalaysiaGazette