PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan menangguhkan keputusan akhir rayuan bekas Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah, Datuk Peter Anthony yang dihukum penjara tiga tahun dan denda RM50,000 atas sabitan berhubung kontrak kerja penyelenggaraan dan perkhidmatan kepada 7 Februari depan.
Keputusan itu dijadual dilakukan esok.
Tarikh baharu itu disahkan oleh peguam Datuk Nicholas Kow Eng Chuan yang mewakili Peter hari ini.
Nicholas berkata, tarikh itu ditetapkan Timbalan Pendaftar Mahkamah Rayuan, Putrajaya menerusi surat bertarikh 7 Januari lepas.
Keputusan rayuan akhir itu akan ditentukan oleh panel tiga hakim yang dipengerusikan oleh Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim bersama Datuk Mohamed Zaini Mazlan dan Datuk Azmi Ariffin.
Peter memfailkan rayuan bagi mengetepikan sabitan dan hukuman penjara tiga tahun serta denda RM50,000 atau penjara 15 bulan, yang dikenakan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 26 Mei 2022.
Sebelum ini, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap itu gagal dalam rayuannya di Mahkamah Tinggi pada 18 April tahun lepas, dan ini merupakan rayuan terakhirnya di Mahkamah Rayuan.
Mahkamah mendapati tertuduh memalsukan dokumen bagi mendapatkan projek di Universiti Malaysia Sabah (UMS), sedangkan beliau mengetahui projek itu dibuat melalui tender terbuka.
Peter yang merupakan Pengarah Urusan Syarikat Asli Jati Sdn. Bhd. didakwa memalsukan surat pejabat Timbalan Naib Canselor UMS bertarikh 9 Jun 2014, iaitu memasukkan pernyataan palsu dengan niat digunakan untuk tujuan menipu. – MalaysiaGazette