KUALA LUMPUR – Tidak perlu prosiding semakan lagi dan laksanakan sahaja titah yang telah diperakui, kata pengamal undang-undang, Datuk Hasnal Rezua Merican terhadap kes titah adendum melibatkan Datuk Seri Najib Razak yang akan kembali ke Mahkamah Tinggi pada 13 Januari depan.
Beliau berkata, jika kerajaan mengambil langkah-langkah mitigasi untuk mengembalikan kepercayaan rakyat terhadap badan kehakiman, ia akan memulihkan kembali imej yang sudah tercalar.
“Perkara itu (titah addendum) sudah pun dizahirkan, ia terletak pada badan eksekutif untuk melaksanakan titah yang dikeluarkan, jadi laksanakanlah.
“Mungkin itu akan dapat menyelematkan imejnya semula,” katanya menerusi program SKOP MG yang membawakan topik ‘Siapa Sorok Titah Adendum’.
Hasnal berkata, tindakan melaksanakan titah tersebut akan menunjukkan niat baik dan dilihat boleh memberi kredibiliti kepada kerajaan.
“Lagi-lagi mereka mendakwa sebenarnya anggota-anggota Kabinet tidak tahu tentang kewujudan titah ini. Hanya Jabatan Peguam Negara yang tahu mengenainya yang mana ia dirahsiakan daripada pengetahan kerajaan,” katanya.
Selain itu, Hasnal berkata, kerajaan juga boleh mengarahkan Jabatan Peguam Negara untuk tidak terus mencabar permohonan Najib di mahkamah.
“Ambillah pendirian berundur daripada halangan itu. Rekodkan penghakiman mengatakan kita bersetuju bahawa satu perintah mandemus dikeluarkan dan kerajaan akan laksana.
“Jika ia dilakukan, tidak goyah pentadbiran kerajaan hari ini,” katanya lagi.
Jelas Hasnal lagi, jika tiada langkah-langkah mitigasi ini dibuat, ia dilihat akan menyebabkan wujudnya sentimen.
“Sentimen ini akan mula merebak, kiita akan lihat ada banyak spekulasi yang dibuat termasuk dakwaan, kiasan-kiasan jahat terhadap kerajaan.
“Terbukti dengan pelaksanaan titah ini tanpa terus dicabar adalah tindakan tidak popular terhadap kerajaan, tetapi ia harus dibuat demi untuk selamatkan imej,” katanya.
Terdahulu, Najib berjaya mendapat kebenaran memulakan prosiding semakan kehakiman bagi suatu perintah memaksa kerajaan atau enam pihak lain menjawab dan mengesahkan kewujudan titah adendum Januari tahun lalu.
Mahkamah Rayuan yang mencapai keputusan memerintahkan supaya kes semakan kehakiman berkenaan diremitkan (dikembalikan) ke Mahkamah Tinggi supaya merit semakan didengar dan diputuskan.
Keputusan itu dicapai melalui penghakiman majoriti 2-1 oleh Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Azhahari Kamal Ramli dan Datuk Seri Mohd Firuz Jaffril, dengan Hakim Datuk Azizah Nawawi memberikan keputusan berbeza.
Titah Adendum berkenaan dikatakan diperkenan Yang di-Pertuan Agong ke-16 yang membolehkan Najib menjalani baki hukuman penjaranya di bawah tahanan rumah yang membabitkan kesalahan penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta. – MalaysiaGazette
VIDEO BERKAITAN: