JOHOR BAHRU – Seorang lelaki maut ditembak ketika makan bersama-sama rakannya dalam sebuah restoran di Taman Setia Indah di sini tengah hari tadi.
Seorang saksi di lokasi kejadian berkata, dia terkejut mendengar bunyi bising dan awalnya menyangkakan bunyi mercun.
“Kami terkejut melihat sebuah motosikal memecut dari lokasi berkenaan dan melihat seorang lelaki terlantar di lantai di hadapan restoran berkenaan,” katanya ketika ditemui.
Terdahulu tular sebuah video berdurasi 11 minit dalam Facebook memaparkan lokasi kejadian dan mangsa.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat mengesahkan kejadian tersebut.
Beliau berkata, pihaknya mendapat panggilan berhubung kejadian pada pukul 12 tengah hari daripada orang awam.
Beliau memberitahu, pada masa sama video berkenaan kejadian tersebut turut tular dalam media sosial.
“Siasatan awal di lokasi kejadian mendapati mangsa merupakan seorang lelaki tempatan berusia 40 tahun. Pegawai perubatan mengesahkan mangsa sudah mati.
“Siasatan sedang dijalankan untuk mengenal pasti suspek, saksi kejadian dan motif kejadian,” ujarnya.
Pihak polis juga katanya, sedang menunggu keputusan bedah siasat.
“Polis mengesan sama ada terdapat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di restoran berkenaan dan premis perniagaan berhampiran.
“Orang ramai dinasihatkan untuk tidak menyebarkan video kejadian dalam media sosial bagi mengelak spekulasi dan salah faham yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat,” tambahnya.
Sebarang maklumat kejadian katanya, boleh disalurkan kepada polis meneri talian hotline Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan 07-2182323 atau mana-mana balai polis berhampiran.- MalaysiaGazette