MELAKA – Seorang pemandu lori tangki minyak sawit melecur selepas kenderaannya terbakar di Kilometer 199.7 Lebuh Raya PLUS arah utara Ayer Keroh di sini, petang tadi.
Dalam kejadian kira-kira 2.40 petang itu, mangsa berusia 42 tahun melecur di bahagian muka dan badan manakala lori tangki minyak masak musnah sepenuhnya bersama sebuah lagi kenderaan mewah jenis BMW Z4.
Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan I, Mohd Sany Sahari berkata, pihaknya menerima maklumat kebakaran kenderaan pada pukul 2.48 petang.
Menurutnya, sepasukan 15 pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ayer Keroh dan Bukit Katil dikejarkan ke lokasi.
“Setibanya di lokasi, didapati sebuah lori tangki minyak sawit yang kosong terbakar bersama sebuah kereta mewah jenis BMW Z4 berhampirannya.
“Kebakaran dipercayai berlaku berpunca apabila lori tangki berkenaan terlibat kemalangan dengan semuah lori treler 20 tan membawa muatan besi menyebabkan pemandu lori tangki melecur 40 peratus ,” katanya ketika ditemui di lokasi, di sini, hari ini.
Menurutnya, dua lagi mangsa, iaitu pemandu BMW Z4, lelaki berusia 36 tahun serta pemandu treler tidak mengalami kecederaan. – MalaysiaGazette.