KUALA LUMPUR – Pemuda Pas mempersoalkan video montaj promosi Melawat Malaysia 2026 (VM 2026) seolah-olah lupa untuk memasukkan visual masjid yang mempunyai nilai signifikan kepada negara.
Ketua Penerangan Pemuda Pas Malaysia, Nadzir Helmi berkata, montaj yang dilancarkan oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya itu hanya memaparkan rumah ibadah bukan Islam selain bangunan peninggalan penjajah.
“Walau bagaimanapun, Pemuda Pas melahirkan kebimbangan berkenaan montaj promosi yang bakal ditayangkan di peringkat antarabangsa.
“Ternyata, montaj tersebut langsung tidak menonjolkan keindahan dan keunikan masjid-masjid dalam negara yang mempunyai nilai yang signifikan kepada negara selain menjadi simbolik kepada agama persekutuan.
“Sebaliknya, montaj berkenaan memaparkan suasana tempat ibadat selain Islam dan bangunan peninggalan penjajah,” katanya dalam kenyataan.
Menurut Nazmi, video yang dihasilkan itu seolah-olah mengulangi isu Georgetown Festival yang menjadi polemik pada tahun lalu.
“Pemuda PAS mempersoalkan pengulangan kesilapan Georgetown Festival melalui ketiadaan masjid dalam montaj tersebut adalah hasil kesilapan tidak sengaja, atau sebenarnya ia merupakan satu tindakan yang disengajakan atas agenda tertentu,” soal beliau.
Nadzir mendakwa berdasarkan pemerhatian di media sosial, ramai yang mempersoalkan berkait ketiadaan lambang syiar Islam, elemen seni bina Islam dan unsur seni bina warisan Melayu dalam montaj terbabit.
Tambah beliau, ketiadaan visual yang melambangkan budaya dan identiti negara dalam montaj promosi tersebut menimbulkan kesangsian dan syak wasangka.
“Justeru, Pemuda Pas menyeru pihak Kementerian Pelancongan agar memberi penjelasan berkenaan isu ini dan mengambil tindakan segera.
“Selain itu, dalam pembikinan montaj pelancongan peringkat antarabangsa, Pemuda Pas menyarankan untuk kerajaan merujuk Jalur Gemilang dan Jata Negara yang terkandung elemen Islam, sekali gus memperihalkan identiti dan agama persekutuan negara,” tegas beliau.
VM 2026 dilancarkan pada 6 Januari lalu dengan pengenalan logo, maskot, lagu tema dan reka bentuk pesawat khas oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Lagu tema bertajuk ‘Surreal Experiences’ turut dilancarkan untuk mempromosikan daya tarikan unik Malaysia kepada pelancong antarabangsa.-MalaysiaGazette