KUALA LUMPUR – Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) menyeru para pengunjung agar lebih bijak ketika menghadiri sebarang acara atau konsert selepas insiden tragis yang melibatkan kematian empat pengunjung konsert Tahun Baru 2025 Pinkfish, baru-baru ini.
Presidennya, Datuk Freddie Fernandez menekankan hiburan harus dinikmati sepenuhnya melalui muzik tanpa sebarang unsur terlarang seperti penyalahgunaan dadah.
Pada masa sama, pihaknya mencadangkan agar garis panduan penganjuran terus diperkukuhkan.
“Pada tahun 2014, tragedi serupa pernah berlaku di festival muzik EDM, Future Music Festival Asia, yang mengorbankan enam nyawa kebanyakannya remaja.
“Hasil bedah siasat ketika itu menunjukkan penglibatan dadah sintetik dan susulan insiden itu, beberapa dasar baharu digubal, termasuk penetapan bahawa konsert EDM hanya dibenarkan diadakan di premis tertutup untuk memudahkan kawalan”
“Namun tragedi seperti ini berlaku lagi dan saya tidak pasti bagaimana perubahan syarat membenarkan konsert di lokasi terbuka, yang jelas lebih sukar dikawal.
“Kehilangan nyawa akibat penyalahgunaan dadah sewaktu menikmati muzik adalah satu perkara yang sangat menyedihkan dan juga menjejaskan industri konsert yang menjadi punca rezeki dan ekosistem penting bagi penggiat muzik,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Freddie turut memberi nasihat kepada pengunjung supaya berhati-hati sekiranya ditawarkan bahan yang mencurigakan kerana bahan-bahan ini mungkin merupakan dadah sintetik atau ‘ramuan baru’ yang diuji kaji tanpa pengetahuan mereka.
“Pengunjung konsert ibarat tikus makmal bagi pihak tidak bertanggungjawab yang ingin menguji bahan baru ini.
“Walaupun ratusan anggota polis melakukan pemeriksaan ketat dan menjalankan tugas dengan baik di lokasi namun kemunculan pelbagai jenis dadah sintetik dalam bentuk jus, pil, kepingan kertas atau vape menyukarkan pengesanan.
“Hal ini menjadi lebih mencabar terutamanya di kawasan terbuka yang luas dan dipenuhi ramai pengunjung dan pastinya sukar dikawal,” katanya.
Freddie menambah, Karyawan menggesa agensi-agensi berkaitan seperti Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), untuk memainkan peranan secara bersama antaranya, membuka reryau pameran atau menjalankan kempen kesedaran di lokasi konsert.
Beliau turut mencadangkan penggunaan motto seperti ‘Muzik Tanpa Dadah’ sebagai tagline wajib pada bahan promosi konsert seperti poster dan billboard khususnya untuk mengingatkan golongan muda dan remaja.
“Karyawan juga menegaskan bahawa tiada genre muzik yang perlu dipersalahkan dan apa yang menjadikannya salah adalah penyalahgunaan dadah oleh segelintir individu.
“Mana mungkin karier profesional seperti muzik yang diajar di universiti seluruh dunia dianggap budaya hedonistik hanya kerana kelakuan segelintir pihak dan berhiburlah dengan sihat seperti bersukan.
“Anda boleh menyanyi dan menari dengan gembira tanpa berasosiasi dengan dadah atau suasana khayal,” katanya. – MalaysiaGazette