JOHOR BAHRU – Suspek utama kes pembunuhan seorang lelaki yang mayatnya ditemui dalam but kereta di Jalan Jemaluang-Mersing pada minggu lalu, akan dituduh di Mahkamah Majistret di sini esok.
Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar berkata, kertas siasatan sudah dirujuk ke Pejabat Pengarah Pendakwaan Negeri Johor.
“Suspek lelaki tempatan berusia 35 tahun yang juga pemandu lori akan dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu membunuh yang membawa hukuman mati atau penjara 30 hingga 40 tahun dan minimum sebatan 12 kali, jika sabit kesalahan,” katanya dalam kenyataan.
Menurut Kumar, wanita tempatan berusia 33 tahun yang ditahan sebelum ini telah dibebaskan dengan mengikat bon mengikut Seksyen 118 Kanun Tatacara Jenayah sebagai saksi pendakwaan.
Sebelum ini, media melaporkan, mayat lelaki tempatan berusia 28 tahun itu dijumpai dalam keadaan berpakaian lengkap dalam but kereta miliknya dengan kesan kecederaan di bahagian leher, pada 28 Disember lalu.
Ketua Polis Daerah Mersing, Superintenden Abdul Razak Abdullah Sani dilaporkan berkata, dendam dipercayai menjadi motif utama pembunuhan sebelum mayatnya ditemui di dalam but kereta jenis Proton Waja di kilometer (KM) 26 Jalan Jemaluang- Kahang.
Bertindak atas maklumat risikan yang diperolehi, pasukan siasatan khas yang ditubuhkan berjaya membuat tangkapan ke atas seorang lelaki dan seorang wanita warga tempatan berusia 33 hingga 35 tahun di Johor Bahru pada pukul 4.30 pagi, pada 29 Disember lalu.- MalaysiaGazette