KUALA LUMPUR – Mini Malaysia memperkenalkan Mini Countryman S ALL4yang baharu, dengan varian berkuasa petrol yang dipasang tempatan yang ditawarkan dari Harga RM259,000.
Mini Countryman S ALL4 ini menyertai barisan Mini ikonik di Malaysia, serta berkongsi proposisinya yang unik dan ciri Favoured Trim dengan Mini Countryman SE ALL4 yang diperkenalkan pada tahun 2024.
Menariknya, model baharu ini tampil lebih tinggi dan lebih panjang berbanding model terdahulu, namun masih mengekalkan identiti Mini.
Dimensi baharu ini menawarkan ruang yang lebih luas, keselesaan yang dipertingkatkan dan keselamatan yang lebih tinggi, menjadikannya sebuah kenderaan serba boleh serta mesra keluarga.
Selain itu, rangkaian kuasa pacuan semua roda Mini Countryman S ALL4 di reka bentuk crossover yang tahan lasak, profil menegak dan lebar antara tayar yang ditingkatkan menjadikannya model yang sempurna untuk pemanduan harian dan pengembaraan luar.
Keseluruhan ruang dalaman Mini Countryman S ALL4 dilengkapi dengan Favoured Trim, kabinnya dicirikan oleh beberapa komponen yang direka dengan teliti serta berkualiti tinggi untuk mencipta suasana selesa dan tenang melalui penggunaan material penyerap haba – terutamanya permukaan tekstil yang diperbuat daripada fabrik poliester kitar semula dua tona melalui proses tenunan yang dihasilkan secara dalaman.
Papan pemuka menyediakan pandangan hadapan yang luas tanpa kepadatan instrumen.
Maklumat berkaitan pemanduan dipaparkan dengan lancar pada paparan MINI Head-Up di belakang stereng, manakala fungsi lain boleh diakses dengan mudah melalui ikon di tengah yang sensitif pada sentuhan atau kawalan suara.
Manakala paparan OLED bulat 240 mm yang unik dalam industri ini bukan sahaja menyediakan antara muka berasaskan sentuhan, malah mempunyai dua projektor di bahagian belakangnya untuk meningkatkan pengalaman pemanduan melalui mod baharu Mini Experience.
Mini Countryman S ALL4 ini juga menampilkan tempat duduk sport John Cooper Works, dengan tempat duduk aktif khusus untuk pemandu.
Kedua-dua tempat duduk hadapan dibaluti dengan kulit vegan berkualiti tinggi pada bahagian sisi dan boleh dilaras menggunakan elektrik dengan fungsi memori serta urutan untuk tempat duduk pemandu.
Penumpang hadapan menikmati hampir 3cm tambahan lebar di bahagian bahu dan siku berbanding model sebelumnya, di samping tempat letak tangan di bahagian tengah yang luas di antara tempat duduk.
Tempat duduk belakangnya pula menawarkan tahap keselesaan yang lebih baik dengan tambahan 2.5cm lebar bahu, dan setiap tempat duduk boleh dilaraskan secara individu ke enam posisi, termasuk sehingga kecondongan 12 darjah untuk pengalaman tempat duduk yang diperibadikan.
Tempat duduk belakang dilengkapi dengan ciri pelarasan gelongsor, menawarkan fleksibiliti untuk mengutamakan sama ada ruang kaki tambahan atau ruang bonet yang lebih luas.
Ciri-ciri dalaman lain bagi Mini Countryman S ALL4 termasuk sistem akses keselesaan, cermin pandang belakang dalaman dengan fungsi anti silau automatik, pelapik bumbung antrasit, dan sistem bunyi sekeliling Harman Kardon 365 W dengan 12 pembesar suara.
Daripada segi kapasiti bagasi, ruang 505 liter Mini Countryman S ALL4 boleh diperluaskan sehingga 1,530 liter.
Daripada segi prestasi, Mini Countryman S ALL4 dikuasakan oleh enjin turbo 2.0 liter yang ditambah baik, menghasilkan 204 hp dan 300 Nm tork, mencapai pecutan 0 sehingga 100 km/j dalam hanya 7.4 saat serta mencapai kelajuan maksimum 228 km/j.
Daripada segi bantuan pemanduan, kereta ini dilengkapi dengan bantuan pemanduan sebagai ciri standard, yang merangkumi amaran pertukaran lorong dan bantuan parkir.
Pengarah Urusan BMW Group Malaysia, Benjamin Nagel berkata, BMW Group Financial Services Malaysia menawarkan pembiayaan Easy Drive dengan pelan ansuran bulanan bermula daripada RM2,338 (berdasarkan anggaran pinjaman 75 peratus, perbatuan 100,000 km untuk tempoh lima tahun).
MiniCountryman S ALL4 Baharu dilindungi oleh program Bantuan Tepi Jalan MINI Malaysia selama lima tahun, yang tersedia untuk semua kenderaan Mini baharu dengan senarai perkhidmatannya yang komprehensif termasuklah bantuan kemalangan dan pertolongan 24 jam, 365 hari setahun melalui panggilan telefon dan bantuan di lokasi. – MalaysiaGazette