KUALA LUMPUR – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) perlu mempertimbangkan untuk meminda montaj promosi Tahun Melawat Malaysia 2026 yang disifatkan tidak menggambarkan identiti sebenar kaum majoriti di Malaysia dan Islam sebagai agama Persekutuan.
Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Terengganu, Datuk Razali Idris berkata, MOTAC seharusnya lebih sensitif dalam memberi gambaran sebenar kemajmukan agama dan kaum di Malaysia menerusi video tersebut.
Ujar beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Terengganu, teras identiti di Malaysia adalah kebudayaan Melayu dan agama Islam, yang menjadi akar kepada keunikan serta keharmonian masyarakat negara ini.
Tambahnya, seni bina masjid, sebagai simbol keindahan Islam, bukan sahaja menjadi tarikan pelancong tetapi juga melambangkan semangat perpaduan rakyat Malaysia.
“Justeru, saya berharap agar MOTAC dapat mempertimbangkan pindaan pada video tersebut dengan menampilkan latar belakang masjid serta elemen budaya Melayu.
“Langkah ini penting untuk memastikan promosi ini tidak hanya meraikan kepelbagaian, tetapi turut memaparkan identiti asal yang menjadi kebanggaan rakyat Malaysia,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.
Isnin lalu, Tourism Malaysia melancarkan Tahun Melawat Malaysia 2026 di Kompleks Kejuruteraan Malaysia Airlines Berhad (MAB) yang disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang turut memperkenalkan montaj promosi kempen tersebut.
Montaj tersebut memaparkan beberapa destinasi tumpuan pelancong antaranya Jalan Petaling dan Pasar Seni di Kuala Lumpur, Gua Mulu (Sarawak) dan Skywalk Langkawi (Kedah).
Selain itu, dua rumah ibadat yang menjadi tumpuan kunjungan pelancong tempatan dan asing turut dipaparkan iaitu rumah ibadat penganut Hindu di Batu Caves, Selangor dan gereja tinggalan penjajah Stadthuys di Melaka.
Bagaimanapun, montaj itu dipersoalkan banyak pihak selepas didakwa meminggirkan identiti utama negara ini iaitu kaum Melayu dan agama Islam. – MalaysiaGazette
Ramai yang sembang kununnya melayu dan Islam tidak terjejas dalam pemerintahan ph. Sudah tentulah mereka tidak buat secara drastik tetapi sedikit demi sedikit. Akhirnya menjadi normalisasi melayu dan Islam dipinggirkan seperti negara sekular lain. Maka setiap undi yang diberi akan terima kesannya di barzah & mahsyar. Tidak ada keimanan non Muslim ph soal barzah dan mahsyar..