Menteri Sumber Asli Dan Kelestarian Alam yang juga Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad.

KUALA LUMPUR – Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) memandang serius laporan siasatan yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) mengenai dakwaan salah laku melibatkan pegawai Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Ia ekoran ada dalam mereka dikatakan memberi kebenaran melepaskan kontena yang dipercayai mengandungi sisa elektronik (e-waste) di Westports, Pelabuhan Klang.

Menterinya, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, pihaknya mengambil langkah proaktif melalui pemantapan Arahan Tetap Operasi Penguatkuasaan (ATOP) termasuk memperkukuh Standard Operasi Prosedur (SOP) berkaitan pengurusan e-waste.

Jelas beliau, langkah tersebut dilaksanakan selaras dengan tanggungjawab di bawah Akta

Kualiti Alam Sekeliling 1974 demi meningkatkan keberkesanan tindakan penguatkuasaan di samping memperkukuh integriti dan profesionalisme dalam usaha melindungi alam sekitar.

“Sebagai tambahan, kementerian menegaskan bahawa usaha ini melibatkan penambahbaikan menyeluruh terhadap prosedur dan garis panduan operasi yang meliputi aspek pemantauan, penguatkuasaan dan penyiasatan.

“Langkah-langkah tersebut diambil bagi memastikan penguatkuasaan dilaksanakan dengan lebih cekap, telus, dan bertanggungjawab,” katanya menerusi kenyataan.

Tambah Nik Nazmi, NRES melalui Jabatan Alam Sekitar (JAS) turut menekankan kawalan ketat terhadap kemasukan e-waste ke negara ini.

Menurut beliau,  ia termasuk pemeriksaan ketat di pintu masuk negara, kerjasama strategik dengan agensi berkaitan dan penggunaan teknologi pemantauan terkini bagi memastikan tiada kemasukan e-waste yang boleh menjejaskan alam sekitar atau kesihatan awam.

“Usaha ini dilaksanakan dengan mematuhi peruntukan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 serta selaras dengan peraturan antarabangsa seperti Konvensyen Basel Mengenai Kawalan Pergerakan Merentas Sempadan Buangan Berbahaya dan Pelupusannya,” jelasnya.

Sebagai rekod EAIC pada Isnin lalu berkata, pihaknya menerima maklumat awal mengenai kemungkinan salah laku berkendan sekitar Mei 2024.

Susulan itu suruhanjaya tersebut  telah menubuhkan sebuah pasukan petugas selaras dengan Seksyen 17 Akta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan 2009 (Akta 700) untuk menyiasat dakwaan tersebut.

Ujarnya, hasil siasatan mendapati kontena-kontena yang dipercayai mengandungi sisa elektronik masih berada di Westports.

EAIC turut mengesahkan terdapat cubaan daripada Pegawai JAS untuk melepaskan kontena-kontena tersebut tanpa punca kuasa yang jelas dan justifikasi yang wajar menurut suruhanjaya itu.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here