Gambar hiasan penjawat awam

KUALA LUMPUR- Urusan pelantikan penjawat awam adalah berteraskan prinsip meritokrasi dan kesaksamaan peluang.

Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam kenyataan berkata, urusan itu dilaksanakan sepenuhnya oleh Pihak Berkuasa Melantik (PBM) yang diberi kuasa perundangan untuk melantik seseorang ke dalam sesuatu perkhidmatan.

Katanya, proses pengambilan itu bertujuan untuk memastikan penyertaan yang adil daripada pelbagai kaum dalam sektor awam.

Jelasnya, Sistem Maklumat Pengurusan Sumber Manusia (HRMIS) sehingga 31 Disember 2024 merekodkan sejumlah 1,302,429 pegawai Perkhidmatan Awam (tidak termasuk PDRM dan ATM) yang sedang berkhidmat di pelbagai Kementerian/Jabatan/ Agensi.

Daripada jumlah tersebut, 77.7 peratus adalah Melayu, Cina (5,4 peratus) dan India (3.7 peratus) dan Bumiputera Sabah dan Sarawak, Orang Asli serta lain-lain kaum (13.2 peratus).

“Jurang komposisi kaum yang wujud dalam perkhidmatan awam adalah disebabkan bilangan bukan Melayu yang memohon untuk berkhidmat dalam sektor Kerajaan sangat rendah, meskipun peratusan lantikan adalah yang paling tinggi setiap tahun berbanding kaum Melayu.

“Kerajaan akan terus berusaha untuk meningkatkan lagi sistem dan proses pengambilan supaya lebih efisien, telus dan mudah diakses oleh segenap lapisan rakyat.

“Kerajaan juga menyeru agar semua rakyat Malaysia yang berkelayakan untuk memanfaatkan peluang yang disediakan dengan menyertai Perkhidmatan Awam demi menyumbang kepada pembangunan negara, sekali gus menggalakkan lebih banyak peluang yang setara dan inklusif kepada semua,” katanya.

Menurut JPA, selain daripada Suruhanjaya Pasukan Polis yang melaksanakan urusan pengambilan bagi perkhidmatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Majlis Angkatan Tentera (MAT) bagi Angkatan Tentera Malaysia (ATM), agensi utama atau PBM yang mempunyai kuasa melantik ke dalam Perkhidmatan Awam Persekutuan adalah Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA); Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan (SPKP); serta Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP).

Pada tahun 2019 hingga 2023, pihak SPA, SPKP dan SPP telah menerima sejumlah 44,559,514 permohonan di mana pemohon berbangsa Melayu mencatatkan peratusan tertinggi iaitu 77 peratus.

Manakala permohonan daripada kaum Cina dan India adalah masing-masing sebanyak 2 peratus dan 3 peratus. Bumiputera Sabah dan Sarawak, Orang Asli serta lain-lain etnik lagi mencatatkan bilangan permohonan sebanyak 18 peratus.

“Meskipun bilangan permohonan daripada kaum Cina adalah rendah dalam tempoh lima tahun tersebut, kadar peratus lantikan berbanding calon yang hadir temuduga melibatkan kaum Cina merupakan yang paling tinggi iaitu pada tahap 85 peratus.

“Ini disusuli dengan kaum India sebanyak 68 peratus, Orang Asli (54 peratus), Bumiputera Sabah dan Sarawak (45 peratus), lain-lain kaum (42 peratus) dan Melayu (41 peratus).

“Perkara ini jelas membuktikan bahawa marginalisasi atau peminggiran mana-mana kaum tidak wujud sama sekali dalam proses pengambilan pegawai untuk berkhidmat dalam Perkhidmatan Awam,”katanya lagi.

Tegas JPA, lantikan yang dibuat adalah selaras dengan prinsip Kerajaan untuk memilih calon yang paling sesuai dan berkualiti untuk jawatan yang tersedia berlandaskan kelayakan dan prestasi mereka dalam ujian dan temuduga.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here