MELAKA – Seorang pemandu bas ekspres parah, manakala lapan lagi cedera dalam kemalangan melibatkan lapan kenderaan di Lebuh Sungai Udang-Paya Rumput-Ayer Keroh (SPA) berhampiran persimpangan ke Pusat Simpanan Kenderaan Berat di Ayer Keroh, di sini, pagi tadi.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Mohd Pisar Aziz berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian pada jam 10.28 pagi yang melibatkan 15 mangsa terdiri daripada 13 lelaki dan dua wanita.
“Sebaik tiba, didapati lapan kenderaan terlibat iaitu sebuah bas ekspres dan tujuh kenderaan lain termasuk tiga buah lori dan dua pacuan empat roda melibatkan keseluruhan 15 mangsa.
“Pemandu bas lelaki parah, manakala lapan lagi cedera ringan dan enam lagi terselamat. Kesemua mangsa telah dihantar ke Hospital Melaka untuk rawatan lanjut,” katanya ketika ditemui di lokasi, di sini, tengah hari tadi.
Sementara itu, pemandu lori tanah, Ahmad Tarmizi Maan, 33, yang terselamat berkata, kejadian berlaku ketika dia sedang berhenti di simpang tiga berkenaan ketika lampu isyarat merah.
“Tiba-tiba, saya tersentak dengan dentuman kuat dari arah belakang sebelum mendapati sebuah lori muatan kotak melanggar belakang lori.
“Beberapa saat kemudian, lori berkenaan pula dirempuh kenderaan lain termasuk sebuah bas menyebabkan pemandunya tersepit,” katanya.
Tambahnya, tanpa berfikir panjang dia terus membantu pemandu lori terbabit yang sudah mengerang kesakitan sementara menunggu bomba dan ambulans tiba di lokasi. – MalaysiaGazette