Zaidi dijatuhkan hukuman denda RM3,000 di Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan menerbitkan penerbitan menghasut di aplikasi X yang menghina Agong.

JOHOR BAHRU – Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini menjatuhkan hukuman denda RM3,000 terhadap seorang peniaga gerai makanan selepas mengaku bersalah atas pertuduhan menerbitkan penerbitan menghasut di aplikasi X yang menghina Yang di-Pertuan Agong, minggu lalu.

Zaidi Mat Sah, 56 membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Hazeelia Muhammad.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menerbitkan penerbitan menghasut apabila membuat satu hantaran di aplikasi X menerusi akaun Bitz @ zatocent miliknya di pautan https://x.com/zatocent/status/1873123178996011382?s=48.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah di Taman Sutera, di sini, pukul 5.45 pagi 29 Disember lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan 1948, bagi kesalahan pertama membawa hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun, atau kedua-keduanya sekali.

Mengikut fakta kes, pengadu melihat hantaran berkenaan di aplikasi X pada 29 Disember lalu, yang membabitkan kenyataan berbaur hasutan itu oleh tertuduh dan merasakan ia berbaur hasutan dan menyentuh kesalahan 3R iaitu dengan melakukan penghinaan ke atas Yang di-Pertuan Agong sekali gus mencemarkan imej dan nama institusi diraja.

Pengadu kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Seri Alam pada keesokan harinya. Hasil semakan terhadap telefon bimbit itu mendapati akaun itu digunakan tertuduh manakala analisis risikan media sosial Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) mendapati akaun X itu adalah milik tertuduh.

Kes dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri Johor, Abdul Ghafar Abdul Latif manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, tertuduh yang membaca kenyataan pembelaannya merayu mahkamah mengenakan hukuman ringan kerana hanya bekerja sebagai penjaja makanan tepi jalan selain terpaksa menanggung keluarga termasuk ibunya yang uzur selain anaknya yang disahkan menghidap autisme.

“Saya mengaku salah dan terkhilaf selain tidak sedar kesalahan dilakukan ini menyentuh 3R.

“Hantaran itu bukanlah ayat karangan sendiri kerana saya hanya ‘repost’ selepas ‘copy paste’ ayat berkenaan. Saya tidak sedar kesan tindakan itu.

“Saya mohon maaf dan berjanji tidak akan mengulangi lagi perbuatan ini. Saya merayu hukuman ringan dan tidak mampu dipenjarakan kerana hanyalah penjaja makanan di tepi jalan yang menjadi satu-satunya sumber pendapatan keluarga termasuk perlu menanggung ibu yang uzur dan anak autisme,” katanya.

Bagaimanapun Pengarah Pendakwaan Negeri Johor, memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal kerana kesalahan dilakukan tertuduh amat serius.

“Kesalahan ini membabitkan kata-kata hinaan terhadap Yang di-Pertuan Agong ke-17 yang juga Sultan Johor, oleh itu hukuman setimpal adalah perlu supaya jadi pengajaran kepada pengguna media sosial yang lain supaya lebih berhati-hati dan berhemah menggunakan platform berkenaan,” katanya ketika berhujah.

Hakim kemudian menjatuhkan hukuman denda RM3,000 terhadap tertuduh dan sekiranya gagal membayar denda akan dipenjara tambahan enam bulan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here