Gambar hiasan

BANGKOK – Seorang penjaga gajah ditahan polis kerana cuai hingga menyebabkan seekor gajah membunuh seorang pelancong Sepanyol di sebuah tempat perlindungan di selatan Thailand minggu lalu.

Wanita Sepanyol berusia 23 tahun itu maut selepas seekor gajah “panik” lalu merodoknya di Pusat Jagaan Gajah Koh Yao di wilayah Phang Nga.

Ketika kejadian mangsa sedang memandikan haiwan liar itu.

Polis mendakwa pekerja tempat perlindungan itu cuai kerana gagal menghalang tragedi tersebut.

“Kami mendakwanya kerana cuai menyebabkan kematian dan dia akan dibawa ke mahkamah hari ini,” kata ketua polis tempatan Jaran Bangprasert kepada AFP.

Penjaga gajah berkenaan adalah sebagai warga Thailand berusia 38 tahun, berdepan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda 200,000 baht (AS5,700).

Gajah liar telah membunuh 227 orang, termasuk pelancong, dalam tempoh 12 tahun lalu, menurut Jabatan Taman Negara, Hidupan Liar dan Pemuliharaan Tumbuhan.

Seekor gajah membunuh seorang wanita berusia 49 tahun di sebuah taman negara di wilayah Loei di utara Thailand bulan lalu.

Walaupun pertemuan antara penduduk kampung dan gajah liar adalah perkara biasa, serangan di tempat perlindungan jarang berlaku.

Mandi gajah adalah aktiviti popular di kalangan pelawat di Thailand, kira-kira 2,800 gajah dikurung untuk tujuan pelancongan di seluruh negara, menurut Perlindungan Haiwan Dunia. – Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here