Pengerusi PeSawah, Abdul Rashid Yob bercakap pada media selepas menyerahkan memorandum kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) ketika Lawatan khas pesawah Ke Parlimen Menuntut Harga Minimum Padi di Pintu Masuk Parlimen. Kuala Lumpur, Foto AIZAT ZAINAL, 11 NOVEMBER 2024.

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH) membantah sekeras-kerasnya penurunan harga belian padi antara RM1,500 hingga RM1,800 kepada RM1,300 satu tan metrik.

Pengerusinya, Abdul Rashid Yob berkata, harga belian itu diputuskan dalam mesyuarat pengilang-pengilang beras bersama Ketua Pengarah Bahagian Industri Padi dan Beras (IPB) tanpa mengambil kira suara komuniti pesawah.

“Penetapan harga ini adalah tidak adil dan langsung tidak mencerminkan realiti kos pengeluaran padi yang semakin meningkat.

“PeSAWAH kesal dengan perbincangan penetapan harga padi yang dijalankan oleh pihak kementerian bersama para pengilang tanpa melibatkan wakil pesawah.

“Tindakan ini jelas menafikan suara dan hak pesawah dalam menentukan nasib mereka sendiri,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, harga padi minimum RM1,300 yang ditetapkan pada 2023 sudah ketinggalan zaman dan tidak lagi relevan.

“Pelbagai kos telah melambung tinggi termasuk kos benih padi naik dua kali sejak 2023, terkini naik mendadak kepada RM58 bagi setiap 20 kilogram (kg) dari RM45 pada 2023,”

Menurut Abdul Rashid, harga belian itu tidak relevan susulan peningkatan kos membajak dan menuai ekoran penghapusan subsidi diesel, sekaligus memaksa pesawah menanggung kos mesin jentuai yang lebih tinggi.

“Kos sewa tanah turut meningkat sejak beberapa musim kebelakangan ini. Kos racun kimia melambung tinggi, hampir empat kali ganda berbanding dua tahun lalu.

“Kos upah penyelenggaraan sawah seperti meracun, menabur dan membaja juga turut meningkat,” katanya.

Selain itu, katanya, kebih mendukacitakan apabila permasalahan utama yang dihadapi pesawah iaitu harga kawalan beras tempatan pada RM2.60 per kg sejak tahun 2014 tidak pernah diambil perhatian serius.

“Sudah tiba masanya rakyat Malaysia menerima harga beras baharu lebih relevan iaitu RM3.60 per kg bagi mengimbangi kenaikan kos pengeluaran padi.

“Langkah ini juga dapat membantu mengangkat taraf hidup pesawah yang kebanyakannya masih di bawah garis kemiskinan,” katanya.

Sehubungan itu, PeSAWAH menuntut agar kerajaan mengkaji semula penetapan harga minimum padi dan mengambil kira kenaikan kos pengeluaran padi mendadak, pendapatan dan kebajikan pesawah serta harga beras tempatan yang realistik.

“Jika kerajaan masih mahu mengekalkan harga beras kepada RM2.60 sekilo dan menurunkan harga padi kepada RM1,300 per tan, kementerian juga mesti menurunkan kos benih padi sah kepada RM45 per beg dan kos-kos lain.

“Jangan berhenti setakat kilang dan memaksa pesawah yang sedia miskin menanggung kos makanan ruji orang yang lebih kaya.

Katanya lagi, PeSAWAH menggesa agar kerajaan melibatkan wakil pesawah dalam sebarang perbincangan berkaitan dasar dan harga padi pada masa hadapan.

“Kegagalan berbuat demikian akan hanya memburukkan lagi keadaan dan menjejaskan industri padi negara,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here