KUANTAN – Polis berjaya menahan seorang lelaki yang disyaki cuba menyeludup sebanyak 494 ekor unggas dan mamalia kecil di dalam lori jenis bonded rigid di kilometer 7 Jalan Lipis-Benta, Lipis.
Menurut Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Ismail Man, kenderaan dipandu lelaki melayu berusia 27 tahun itu ditahan dalam sekatan jalan raya pada pukul 9.30 malam pada 6 Januari lepas.
“Pemeriksaan awal dijalankan pasukan polis mendapati lori tersebut dalam perjalanan dari Kota Bharu, Kelantan menuju ke Shah Alam, Selangor membawa muatan haiwan hidup yang disyaki dilindungi di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Ismail, hasil pemeriksaan lanjut juga mendapati haiwan-haiwan tersebut dibawa tanpa permit dan kelulusan Jabatan Perhilitan.
Siasatan lanjut juga mendapati pemandu lori terbabit telah mengambil pelbagai spesis haiwan itu di lokasi berasingan sebelum dia ditahan.
Berikutan itu, lori dan kesemua haiwan tersebut telah dirampas pihak polis dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lipis selain 228 buah bakul/sarang, segugus kunci dan sebuah telefon bimbit.
Ismail memberitahu, kes dalam siasatan lanjut di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716). – MalaysiaGazette