Gelanggang yang basah akibat bumbung Axiata Arena yang bocor semasa hujan lebat, petang tadi

KUALA LUMPUR – Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) memohon maaf kepada semua pihak terutamanya pihak penganjur dan peminat sukan badminton atas insiden kebocoran bumbung yang berlaku di Axiata Arena semalam sehingga mengganggu aksi Badminton Terbuka Malaysia yang terpaksa dihentikan untuk seketika.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PSM, lliyas Jamil berkata, masalah kebocoran pada bumbung Axiata Arena itu adalah kerana proses penggantian bumbung lama (sejak 1998) kepada yang baharu telah dibuat pada pertengahan tahun lalu.

Menurut beliau, proses penukaran bumbung oleh pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) yang dilaksanakan oleh kontraktor yang dilantik oleh JKR itu mengambil masa selama setahun melalui kaedah tidak perlu menutup Axiata Arena bagi penganjuran acara.

Jelasnya, sejak pertengahan tahun lalu sehingga kini, tiada sebarang kebocoran berlaku di kawasan arena tersebut.

“Kebocoran yang berlaku disebabkan oleh air hujan yang menitis dan terkena pada gelanggang.

“Justeru, PSM dengan kerjasama kontraktor telah melaksanakan kerja-kerja segera untuk mengalirkan air ke tempat lain sejak pukul 4.30 petang dan gelanggang boleh digunakan semula pada jam 8.00 malam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah beliau, PSM dan kontraktor malam tadi telah melaksanakan kerja-kerja yang lebih untuk memastikan masalah ini tidak berulang pada hari-hari berikutnya.

Jelasnya, PSM dan kontraktor juga akan menyediakan lebih 10 kakitangan untuk bersedia di bumbung selepas ini sepanjang kejohanan berlangsung bagi memastikan insiden sama tidak berulang.

“Pihak JKR dan kontraktor juga memberi kerjasama untuk membuat kerja-kerja yang bersesuaian dan ia sedang berjalan.

“PSM telahpun mengenal pasti kawasan-kawasan yang bermasalah dan menyegerakan kerja-kerja yang perlu dilakukan,” katanya.

Tambah beliau, PSM juga telah mengadakan mesyuarat dengan pihak JKR Wilayah Persekutuan dan kontraktor pada 30 Disember lalu dan menekankan kepentingan acara tidak terganggu dengan kerja penukaran bumbung tersebut dan telah diberi keyakinan pihak kontraktor akan membuat tindakan sewajarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here