KUALA LUMPUR – Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing perlu tampil menjelaskan ketiadaan visual masjid dalam montaj pelancaran Melawat Malaysia 2026 (VM 2026).
Menurut Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr Radzi Jidin, isu itu timbul berikutan montaj berdurasi 41 saat itu telah memaparkan rumah ibadat agama-agama lain.
Radzi yang juga Naib Presiden Bersatu berkata, beliau disoal mengenai isu tersebut, justeru beliau memerlukan jawapan daripada King Sing.
“Dah tengok montaj pelancaran Tahun Melawat Malaysia 2026? Ada yang tanya saya, kenapa tak ada masjid dalam video montaj pelancaran Tahun Melawat Malaysia 2026? Tapi rumah ibadat yang lain ada.
“Emmm. Menteri Pelancongan kena jawab ni!” katanya dalam satu perkongsian di media sosial.
Berdasarkan video yang dimuat naik menerusi Facebook rasmi Tourism Malaysia, montaj tersebut memaparkan beberapa destinasi tumpuan pelancong antaranya Jalan Petaling dan Pasar Seni di Kuala Lumpur, Gua Mulu (Sarawak) dan Skywalk Langkawi (Kedah).
Selain itu, dua rumah ibadat yang menjadi tumpuan kunjungan pelancong tempatan dan asing turut dipaparkan iaitu rumah ibadat penganut Hindu di Batu Caves, Selangor dan gereja tinggalan penjajah Stadthuys di Melaka.
Tourism Malaysia optimis kempen VM 2026 mampu mencapai sasaran kedatangan lebih 35.6 juta pelancong tahun depan sekali gus merancakkan sektor pelancongan negara.
Majlis Pelancaran VM 2026 di Kompleks Kejuruteraan Malaysia Airlines Berhad (MAB) pada Isnin lalu disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.- MalaysiaGazette