KUALA LUMPUR- Lapan individu termasuk seorang pengarah agensi kerajaan dan tiga pengarah syarikat ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) susulan siasatan kes rasuah pemeriksaan kenderaan perdagangan.
Menurut sumber, kesemua suspek berusia lingkungan 30 hingga 50-an ditahan di beberapa lokasi berbeza sekitar Melaka dan Lembah Klang dalam Op Loader dijalankan Bahagian Perisikan SPRM sekitar jam 9 hingga 12 tengah hari tadi.
Katanya, kesemua suspek disyaki terbabit dalam kegiatan mendapatkan surat tawaran kelulusan Lesen Kenderaan Perdagangan (LKP) daripada sebuah agensi tanpa memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh Kementerian Pengangkutan.
“Syarikat-syarikat ini dipercayai telah bersekongkol dengan pegawai-pegawai daripada agensi berkenaan dengan menyediakan maklumat palsu bagi mendapatkan surat tawaran kelulusan permohonan baharu LKP Kelas Lesen Pembawa dengan bayaran sebanyak RM3,500 setiap permohonan.
“Pihak syarikat akan membantu mana-mana pihak memalsukan dokumen seperti penyata bank dan menguruskan proses permohonan termasuk Surat Tawaran Kelulusan (STK), Surat Kelulusan Lanjut Usia (SKLU) bagi membolehkan kenderaan Perdagangan menjalani Pemeriksaan Awalan Puspakom,” katanya.
Tambahnya, berdasarkan risikan SPRM, bayaran rasuah yang dikenakan adalah sebanyak RM3,000 sehingga RM20,000 bergantung kepada jenis dan usia kenderaan serta keupayaan syarikat-syarikat yang ingin memperolehi Lesen Kenderaan Perdagangan ini.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya ketika dihubungi mengesahkan penahanan terhadap kesemua suspek dan kes disiasat di bawah Seksyen 16 dan 17 Akta SPRM 2009.
Katanya, kesemua suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya, esok pagi bagi proses permohonan reman.- MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN