Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Aiman Athirah

PUTRAJAYA – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) memperuntukkan RM11 juta bagi program Pemerkasaan Ekonomi Komuniti Bandar (PEKB) 2025.

Timbalan Menterinya Datuk Aiman Athirah Sabu berkata, peruntukan itu dijangka bakal memanfaatkan 1,060 peserta dalam kalangan B40.

Menurut beliau, sebanyak 29 Badan Bukan Kerajaan (NGO) pelaksana yang diamanahkan untuk melatih peserta program itu pada tahun ini bagi melahirkan usahawan  berkualiti dan berjaya mengusahakan perniagaan sendiri.

“Lebih 90 NGO memohon untuk menyertai PEKB, namun lulus diberi peruntukan adalah sebanyak 29 sahaja.

“Mana-mana NGO yang telah diberikan peruntukan, mereka perlu memastikan dalam tempoh enam bulan latihan yang diberikan kepada peserta PEKB ini akan dapat meningkatkan pendapatan sehingga RM750, iaitu sekurang-kurangnya melebihi paras garis kemiskinan, iaitu paras garis kemiskinan sekarang ini adalah RM747,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Surat Kelulusan Pelaksanaan Program PEKB Tahun 2025, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha KPKT, Suhaimi Ali @ Ahmad.

Pada tahun lalu, sebanyak RM7 juta  diperuntukkan untuk pelaksanaan program tersebut.

Sejak diperkenalkan pada 2013 sehingga kini, KPKT telah membelanjakan RM174 juta bagi melatih 16,955 usahawan seluruh negara menerusi program PEKB.

Mengulas lanjut Aiman Athirah berkata, dianggarkan setiap NGO menerima peruntukan kira-kira RM300,000 untuk melaksanakan program berkenaan.

Bagaimanapun katanya, jumlah itu bergantung kepada keperluan pelaksanaan latihan dan jumlah peserta.

“Setiap peruntukan untuk NGO diberikan berbeza jumlahnya mengikut jumlah peserta yang dilatih dan kluster (bidang) yang mereka ceburi.

“Kalau lebih kepada latihan mungkin kurang sikit jumlah peruntukan NGO itu dapat tetapi kalau melibatkan kepada pembelian peralatan-peralatan, logistik yang diperlukan lebih tinggi jumlah peruntukan yang diterima,” tambahnya.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here