PUTRAJAYA – Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat berkata, beliau pernah dikritik, difitnah dan dilabel sebagai tidak Islamik atau musuh agama dalam usaha untuk memalukannya dan hakim-hakim lain.
Ujar Tengku Maimun, suaminya malah dipergunakan oleh segelintir pihak dalam beberapa permohonan supaya beliau menarik diri daripada prosiding mahkamah namun tindakan itu langsung tidak membuatnya rasa terganggu.
“Tiada satupun berjaya menggugat hati dan menguji diri saya dan segala puji bagi Allah, tidur saya tidak pernah terganggu dengan komen-komen sedemikian,” ujar beliau ketika berucap pada majlis Pembukaan Tahun Perundangan 2025, di sini, hari ini.
Ucapan itu merupakan yang terakhir disampaikannya pada program tahunan Badan Kehakiman Malaysia selepas hampir enam tahun dilantik sebagai Ketua Hakim Negara pada 2019.
Tengku Maimun dijadual bersara wajib pada usia 66 tahun pada 2 Julai ini namun khidmat beliau boleh dilanjutkan enam bulan lagi jika mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong (YDPA).
Ketika berkongsi cabaran dan pengalamannya, Tengku Maimun menyatakan, sewaktu dilantik sebagai Ketua Hakim Negara wanita yang pertama, beliau pernah ditanya tindakannya jika Eksekutif atau mana-mana pihak berpengaruh mahukannya melantik individu tertentu sebagai hakim atau membuat keputusan yang diketahuinya salah.
Jelasnya, beliau hanya melaksanakan tugas dan tidak pernah mengidamkan jawatan tersebut melainkan dengan izin Allah
SWT, beliau diberi amanah memimpin Badan Kehakiman.
“Ia adalah satu jawatan yang amat menakutkan untuk disandang, tetapi apabila menerima pelantikan, saya komited sepenuhnya untuk melakukannya dengan betul.
“Saya tidak akan tunduk kepada mana-mana orang walau bagaimana tinggi dan berkuasapun mereka, untuk melakukan apa yang diminta.
“Saya hanya tunduk kepada Allah SWT dan saya sangat percaya kepada agama yang mempertanggungjawabkan saya hanya kepada Allah SWT,” ujar beliau.
Menurut Tengku Maimun, beliau sentiasa berniat menunaikan tugas yang diikrarkannya ketika mengangkat sumpah jawatan sebagai Ketua Hakim Negara bagi memastikan Perlembagaan Persekutuan terus berkuasa tanpa berpandukan pertimbangan selain undang-undang dan fakta kes.
Dalam ucapannya, beliau turut menyatakan, selepas hampir enam tahun berkhidmat, wajar bagi individu merasai kesedihan menjelang persaraan.
Namun ujarnya, berbanding rasa sedih, beliau lebih lega dan sentiasa menunggu untuk bersara dan percaya akan meninggalkan badan kehakiman dalam suasana yang baik sejak beliau dan hakim-hakim lain memimpinnya.
“Saya akan mempunyai banyak masa untuk cucu-cucu dan lebih mendalami hubungan berkaitan keimanan,” kata Tengku Maimun. – MalaysiaGazette