Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hadir bagi mendengar perbicaraan kes penyelewengan dana 1 Development Malaysia Berhad (1MDB) di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 03 DISEMBER 2024

PUTRAJAYA – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menafikan dakwaan Datuk Amhari Efendi Nazaruddin kononnya penubuhan syarikat Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA) dikatakan idea serta ‘bayi’ beliau.

Najib berkata, dakwaan Amhari ketika menjadi saksi pendakwaan perbicaraan kes berprofil tinggi, 1Malaysia Development (1MDB) itu sebenarnya mengarut dan tidak benar sama sekali.

Kata mantan Ahli Parlimen Pekan itu, seperti yang telah didokumenkan, TIA merupakan ilham atau brainchild Yang di-Pertuan Agong ke-13, Sultan Mizan Zainal Abidin yang juga Sultan Terengganu.

Malah kata Najib, ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low sebenarnya telah dilantik sebagai penasihat kepada Sultan Mizan bagi menentukan hala tuju TIA dalam pembangunan di Terengganu.

“Dakwaan Amhari ini mengarut. TIA ini ialah idea Tuanku Mizan dan baginda yang telah melantik Jho Low. Saya sememangnya tidak ada kena mengena dengan semua itu. Semua ini juga telah didokumenkan dalam perbicaraan ini.

“Saya tidak pasti bagaimana pula dengan dakwaan kononnya TIA ini adalah ‘baby’ saya. Saya tidak pasti bagaimana pula saya boleh jadi ‘bapa’ kepada TIA ini,” katanya ketika menjawab soalan peguamnya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah pada prosiding bela diri beliau petang ini.

Untuk makluman, TIA telah ditukar nama kepada 1MDB pada September 2009 ketika Najib menjadi Perdana Menteri.

Dalam pada itu, Najib juga menafikan dakwaan kononnya 1MDB digunakan untuk mengumpul dana buat dirinya serta UMNO.

Sebaliknya, kata beliau, syarikat itu sebenarnya berperanan untuk meningkatkan dan memacu ekonomi negara terutamanya pelaburan-pelaburan penting dari Timur Tengah.

Najib sedang membela diri terhadap empat pertuduhan menggunakan kedudukan bagi memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 tuduhan pengubahan wang haram.

Prosiding sedang berlangsung ketika ini di Kompleks Mahkamah Istana Kehakiman di hadapan di hadapan Hakim, Datuk Collin Lawrence Sequerah.  – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

1MDB: Saksi buat pusingan ‘U’ kata TIA bukan ‘baby’ Najib

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here