Mohd Hafez Sabri

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan (KPM) digesa untuk mencari punca utama ketidakhadiran 10,000 calon menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia 2024.

Timbalan Ketua Dewan Pemuda Pas, Mohd Hafez Sabri menegaskan, langkah yang agresif perlu diambil bagi memastikan calon-calon SPM terbabit tidak keciciran sehingga memberi kesan terhadap masa depan mereka.

Mohd. Hafez berkata, ketidakhadiran 10,000 pelajar terutama bagi kertas Bahasa Melayu merupakan satu masalah besar yang melanda sistem pendidikan negara.

“Mata pelajaran Bahasa Melayu merupakan mata pelajaran teras dan wajib lulus untuk seseorang calon itu mendapatkan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Ketidakhadiran mereka dalam peperiksaan tersebut akan memberi kesan terhadap masa depan mereka.

“Selain itu, SPM dianggap peperiksaan awam paling penting bagi seorang pelajar sehingga ia dijadikan sebagai penanda aras dalam mengukur tahap sistem pendidikan negara,” katanya dalam kenyataan.

Pada 2 Januari lalu, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, kementerian masih dalam proses mengemas kini peratusan kedatangan memandangkan terdapat kira-kira 10,000 calon yang belum mengesahkan kehadiran.

“Anak-anak kita yang mengambil peperiksaan sudah pun mencecah 97 peratus, ini kehadiran yang baik. Maknanya kita masih dalam proses untuk kemas kini, masih ada lagi yang belum mengenal pasti dan mengesahkan kehadiran mereka.

“Ada lebih kurang 10,000 lagi. Jadi kita harap kehadiran ini dapat kita pertingkatkan untuk memastikan anak-anak kita hadir ke peperiksaan SPM,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here