KUALA LUMPUR – Hanya ada dua menteri yang terlibat berkaitan isu titah addendum terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak iaitu Menteri Wilayah Persekutuan, Dr Zaliha Mustafa dan Datuk Seri Saifudin Nasution Ismail sebagai Menteri Dalam Negeri.
Pengamal undang-undang, Datuk Hasnal Rezua Merican berkata, Dr Zaliha dilihat terlibat secara langsung kerana beliau merupakan salah seorang anggota Lembaga Pengampunan.
“Berbeza dengan Saifudin yang akan terlibat jika titah addendum itu diberikan kepada Ketua Pengarah Penjara Malaysia kerana Ketua Pengarah Penjara akan meminta nasihat daripada Menteri Dalam Negeri.
“Jadi, secara langsung yang terlibat ini adalah Dr Zaliha dan bukannya Datuk Seri Azalina Othman Said seperti dakwaan sesetengah pihak.
“Peranan Azalina sangat kecil dan hanya bertindak kepada perkara-perkara seperti penggajian dan beliau tidak boleh melangkaui Jabatan Peguam Negara pun, jauh sekali untuk titah adendum ini,” katanya menerusi program SKOP MG terbitan MalaysiaGazette.
Membawakan topik ‘Siapa Sorok Titah Adendum’, Hasnal menjelaskan berkaitan isu sorok titah ini, kedua-dua sosok ini perlu tampil memberikan pencerahan.
“Tidak cukup hanya cakap saya tak pernah tengok, tak pernah diserahkan titah (addendum), atau apa juga kenyataan.
“Saifudin telah pun memberikan respons segera dalam sidang media sejurus Keputusan Mahkmah Rayuan.
“Ini adalah usahanya, lagi pula beliau pernah bercakap di Parlimen titah addendum sebagai khabar angin mengikut keputusan mahkamah pada ketika itu,” katanya.
Jelas Hasnal, Saifudin sudah menjalankan kerjanya dengan memberitahu hanya menerima dua titah iaitu pengurangan denda dan tempoh penjara.
“Tetapi, tindakan sedemikian masih tidak mencukupi kerana sudah terbukti titah itu wujud.
“Saifudin sudah menjawab, Dr Zaliha pula belum memberikan sebarang kenyataan.
“Cukup ke Dr Zaliha yang merupakan anggota Lembaga Pengampunan kata tak pernah lihat titah itu?,” katanya lagi.
Hasnal menegaskan, jika benar titah tersebut tidak pernah dilihat, ia sepatutnya tidak terhenti di situ.
“Satu siasatan mesti dibuat ke mana perginya titah tersebut apabila diserahkan kepada Peguam Negara dan Pejabat Peguam Negara?
“Mengapa pihak ini bertindak tidak menyerahkan titah ini kepada semua pihak-pihak berwajib yang patut melaksanakannya dan tiada perbincangan sama ada boleh dilaksanakan atau tidak?” soalnya lagi.
Menjawab kepada soalan pelayar untuk diwujudkan satu suruhanjaya siasatan diraja, Hasnal tidak menolak dan bersetuju.
“Boleh jika mahu ditubuhkan siasatan diraja agar kes ‘sorok’ ini menjumpai penyelesaiannya.
“Ini juga langkah terbaik untuk mencari apakah sebenarnya yang berlaku dan siapa pelakunya,” katanya.
Terdahulu, Najib berjaya mendapat kebenaran memulakan prosiding semakan kehakiman bagi suatu perintah memaksa kerajaan atau enam pihak lain menjawab dan mengesahkan kewujudan Titah Adendum Januari tahun lalu.
Mahkamah Rayuan yang mencapai keputusan memerintahkan supaya kes semakan kehakiman berkenaan diremitkan (dikembalikan) ke Mahkamah Tinggi supaya merit semakan didengar dan diputuskan.
Keputusan itu dicapai melalui penghakiman majoriti 2-1 oleh Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Azhahari Kamal Ramli dan Datuk Seri Mohd Firuz Jaffril, manakala Hakim Datuk Azizah Nawawi memberikan keputusan berbeza.
Titah Adendum berkenaan dikatakan diperkenan Yang di-Pertuan Agong ke-16 yang membolehkan Najib menjalani baki hukuman penjaranya di bawah tahanan rumah, yang membabitkan kesalahan penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta. – MalaysiaGazette