KUALA LUMPUR – Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Mohamad Sabu beranggapan adalah tidak mustahil Pas akan `membuang’ Datuk Seri Najib Razak suatu hari nanti apabila bekas Perdana Menteri itu tidak lagi memberi keuntungan politik kepada Pas.
Ini kerana, dakwa beliau, sokongan Pas terhadap Najib ketika ini khususnya berkait dengan isu titah adendum hanyalah sandiwara untuk menarik sokongan orang Melayu.
Malah beliau turut membandingkan dengan fatwa-fatwa Pas sebelum ini yang boleh diubah sesuka hati demi menghalalkan sesuatu tindakan pemimpin parti tersebut.
“Misalnya bila nak larang ahli Pas turun berdemontrasi, mereka guna dalil – jangan campakkan dirimu ke dalam kebinasaan. Tetapi bila nak kerah ahli Pas untuk turun berdemontrasi, mereka guna pula dalil – berjuanglah ke jalan Allah dengan harta dan nyawamu.
“Amalan mengeluarkan fatwa sesuka hati inilah yang akan merosakkan negara sepertimana yang Tan Sri P Ramlee pertontonkan dalam filem Musang Berjanggut dulu.
“Berdasarkan semua insiden ini, maka bolehlah kita simpulkan bahawa segala tuduhan dan persepsi yang cuba dimainkan oleh Pas hanyalah suatu sandiwara politik. Fatwa politik mereka boleh berubah bila-bila masa yang mereka suka,” katanya menerusi catatan di laman sosial Facebook beliau hari ini.
Sementara itu, Mohamad yang pernah menjadi Timbalan Presiden Pas itu turut berkongsi pengalamannya yang tertipu dengan fatwa-fatwa Pas sepanjang 37 tahun menjadi ahli parti itu sejak 1978 khususnya perbezaan dengan UMNO yang bukan setakat seteru politik tetapi telah sampai ke peringkat perbezaan akidah.
Ia termasuk tanggapan bersembahyang di belakang imam yang pro-UMNO adalah tidak sah dan haram hukumnya.
“Saya nak sebut di sini, ahli-ahli Amanah atau umat Islam jangan gusar dan jangan rasa gelisah di atas tuduhan Pas sebab tuduhan atau gelaran yang dikeluarkan oleh Pas hanyalah bersifat semasa dan untuk kepentingan politiknya sahaja.
“Kami yang telah tertipu, kononnya perbezaan dengan UMNO itu adalah perbezaan akidah tetapi ternyata ia adalah permainan untuk mengekalkan sokongan orang Melayu kepada Pas,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menyeru ahli-ahli Amanah dan umat Islam di negara ini untuk terus terus berpadu tenaga memperjuangkan Islam sebagai agama yang membawa rahmat kepada semua, bersatu hati membela golongan yang tertindas serta bersama menolak politik kebencian.
“Usahlah terpedaya dan termakan dengan sandiwara semasa Pas,” katanya. – MalaysiaGazette