Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat (tengah) bersama Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim (dua kiri) pada Majlis Pembukaan Tahun Perundangan 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Foto MUHAIMIN MARWAN, 08 JANUARI 2025.

PUTRAJAYA – Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat menyampaikan keyakinan bahawa kebebasan badan kehakiman akan terus terbela di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau optimis Perdana Menteri akan kekal setia dengan pandangannya seperti dalam hansard di Parlimen, hampir 16 tahun lalu untuk mempertahankan kebebasan kehakiman.

Menurut Ketua Hakim Negara, Anwar yang ketika itu ketua pembangkang pada tahun 2009 pernah membuat bantahan terhadap Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) di Dewan Rakyat.

Mengimbas kembali perkara itu, Tengku Maimun berkata, Anwar ketika itu membantah JAC atas alasan Rang Undang-Undang Parlimen (yang kini telah menjadi undang-undang) tidak mencukupi untuk meningkatkan kebebasan badan kehakiman.

“Secara kebetulan, 15 tahun lalu, sebelum Akta JAC 2009 dikuatkuasakan, ketua pembangkang pada masa itu memberikan pandangan, seperti yang tercatat dalam Hansard, mengenai pelantikan hakim dan kebebasan kehakiman.

“Saya yakin bahawa Perdana Menteri dan kerajaannya akan kekal setia dengan pandangan tersebut dengan terus berkomitmen tanpa syarat untuk mempertahankan kebebasan kehakiman,” katanya.

Beliau berucap pada majlis Pembukaan Tahun Perundangan 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini.

Dalam ucapan terakhir pada program tahunan anjuran Badan Kehakiman Malaysia, Tengku Maimun menghapuskan tanggapan bahawa beliau pernah memihak kepada mana-mana parti politik atau Perdana Menteri sepanjang hampir enam tahun menerajui kehakiman.

Beliau yang mengangkat sumpah jawatan pada Mei 2019, berkhidmat di bawah pentadbiran empat Perdana Menteri selain Anwar iaitu Tun Dr. Mahathir Mohamad, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Sambil menyifatkan pengalaman beliau sebagai unik, Tengku Maimun berkata, setiap Perdana Menteri mempunyai pegangan politik yang berlainan.

Tengku Maimun dijadual bersara wajib Julai ini pada usia 66 tahun namun beliau boleh menyambung khidmat selama enam bulan lagi jika mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Ujarnya, beliau bukan sesatunya yang akan bersara tahun ini kerana ia turut melibatkan beberapa hakim kanan dalam tempoh terdekat.

“Kami akan meninggalkan anda semua untuk menilai sama ada kes-kes penting dalam pelbagai bidang yang menjadi duluan dalam tempoh enam tahun ini, mencapai standard keadilan.

“Apa yang boleh dilakukan kini kita ialah memberi amanah kepada generasi hakim, peguam, pendakwa raya dan peguam persekutuan akan akan datang untuk selanjutnya membangunkan undang-undang selaras dengan prinsip yang ditetapkan,” ujar Tengku Maimun. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here