Azizi Safar

KUALA LUMPUR – Tindakan Angkatan Muda Keadilan (AMK) yang mahu membuat laporan polis di seluruh negara terhadap beberapa pemimpin pembangkang berhubung dakwaan kerajaan menyembunyikan kewujudan titah adendum menimbulkan persoalan.

Ini kerana, kata pemerhati politik tempatan, Azizi Safar, kenyataan AMK berhubung perkara itu tidak merujuk kepada titah adendum penahanan rumah ke atas bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak seperti yang dibangkitkan oleh pemimpin pembangkang.

Sebaliknya, ujar beliau, AMK menerusi kenyataan yang disiarkan media tempatan itu merujuk kepada `dokumen adendum’ yang ditandatangani oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan disaksikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr. Zaliha Mustafa yang mengarahkan Jabatan Penjara untuk memendekkan tempoh hukuman penjara kepada 23 Ogos 2028 serta mengurangkan jumlah denda kepada RM50 juta ke atas Najib.

“Dokumen adendum mana satu telah dirujuk oleh AMK PKR dalam laporan media ini?

“Hasrat AMK PKR mahu buat laporan polis perlu disokong supaya polis boleh menyiasat apakah benar Titah Adendum Yang Dipertuan Agong ke-16 itu telah “disembunyikan” dan jika benar, siapakah gerangan yang telah “menyembunyikan” Titah Adendum Yang Dipertuan Agong ke-16 itu.

“Harap AMK PKR tidak tersalah lapor … dan faham maksud adendum,” katanya menerusi catatan di laman sosial Facebook beliau hari ini.

Sebelum ini, beberapa pemimpin pembangkang antaranya Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin mendakwa, Perdana Menteri yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim menyembunyikan titah adendum yang dikatakan membenarkan Najib menjalani baki hukuman penjara sebagai tahanan rumah.

Dakwa mereka, tindakan itu merupakan ‘penderhakaan besar’ kepada Yang di-Pertuan Agong dan negara.

Ekoran itu, AMK mengarahkan ahli-ahlinya di seluruh negara membuat laporan polis terhadap pemimpin pembangkang kerana menyifatkaan dakwaan terhadap Anwar tersebut sebagai cubaan untuk mencemar reputasi Perdana Menteri serta kerajaan Malaysia.

Terdahulu, Mahkamah Rayuan Isnin lalu membenarkan rayuan Najib untuk memulakan semakan kehakiman bagi memaksa Menteri Dalam Negeri dan kerajaan untuk menguatkuasakan titah tambahan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16.

Keputusan berkenaan dicapai melalui penghakiman majoriti 2-1 oleh Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Azhahari Kamal Ramli dan Datuk Seri Mohd Firuz Jaffril, manakala Hakim Datuk Azizah Nawawi memberikan keputusan berbeza.

Ketika prosiding, Peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafie Abdullah turut mengemukakan kepada mahkamah sepucuk surat daripada Istana Pahang yang mengesahkan kewujudan titah tambahan itu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here