KUANTAN – Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail mengambil risiko peribadi apabila berani memfailkan afidavit berhubung kewujudan titah adendum tahanan rumah Datuk Seri Najib Razak.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Peramu Jaya, Datuk Mohamad Nizar Najib berkata tanpa keberanian itu, orang ramai tidak tahu mengenai kewujudan titah tersebut.
“Selain usaha Datuk Seri Zahid Hamidi, Presiden UMNO untuk fail affidavit titah addendum yang saya amat hargai, Wan Rosdy juga mengambil risiko peribadi untuk mengesahkan kewujudan titah addendum dan tahanan rumah melalui affidavit yang beliau failkan di mahkamah.
”Tidak ramai yang tahu yang saya sentiasa berhubung dengan Menteri Besar, memohon nasihat dan pandangan sepanjang saga titah addendum ini berlangsung.
”Beliau banyak memberi dorongan dan nasihat sepanjang saya dan keluarga perjuangkan pekara ni bagi pihak ayahanda,” katanya menerusi kenyataan di Facebook miliknya.
Nizar turut mengakui beliau banyak belajar tentang kepimpinan semasa menjawat jawatan sebagai exco daripada figura itu.
Antaranya cara selesaikan masalah, mendamaikan pihak-pihak yang sedang bertelagah, uruskan krisis kecil mahupun besar dan menghadapi banyak cabaran dengan tenang.
”Bos saya ni bukan jenis yang suka claim credit tak tentu pasal. Beliau jenis yang kuat bekerja, tahu-tahu kerja dah siap, biar pencapaian dan prestasi tu berbicara.
”Dalam erti kata lain ‘Action speaks louder than words’. Lihat sahajalah pencapaian hasil negeri yang meningkat berlipat ganda, setinggi 175% antara 2018-2025
”Terima kasih tak terhingga Dato Sri Diraja Menteri Besar. Saya dengan ikhlas selalu mendoakan agar Dato Sri Diraja diberikan kesihatan yang baik dan kekuatan untuk terus memimpin kami di pentadbiran negeri Pahang,” tambahnya lagi.
Pada Isnin Najib berjaya dalam prosiding bagi mendengar rayuan berhubung dakwaannya mengenai kewujudan titah adendum disusuli pendengaran permohonan pihak pembelaan mengemukakan bukti tambahan.
Titah Adendum berkenaan dikatakan diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16 yang membolehkan Najib menjalani baki hukuman penjaranya di bawah tahanan rumah, bersabit kesalahan penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.
Panel tiga hakim yang diketuai Hakim Datuk Azizah Nawawi, Datuk Azhahari Kamal Ramli dan Datuk Seri Mohd Firuz Jaffril mendengar hujahan daripada Shafee yang mewakili Najib.
Mahkamah Rayuan dalam keputusan majoriti 2-1 membenarkan Datuk Seri Najib Tun Razak mencabar titah adendum bagi membolehkan beliau menghabiskan baki hukuman penjara enam tahun dalam tahanan rumah. – MalaysiaGazette