KUALA LUMPUR – Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor menggesa Polis Diraja Malaysia mengambil tindakan terhadap pemimpin pembangkang yang didakwa membuat fitnah terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim berkaitan titah adendum Yang di-Pertuan Agong ke-16.
Menurutnya, antara fitnah yang dilontarkan terhadap Perdana Menteri termasuk dakwaan menyembunyikan dan menafikan kewujudan titah adendum berhubung penahanan rumah Datuk Seri Najib Razak.
“Tuduhan-tuduhan ini merupakan satu tuduhan yang tidak berasas, berniat jahat serta cubaan mencetuskan naratif buruk terhadap Perdana Menteri serta kerajaan.
“Sebagai pimpinan pembangkang mereka seharusnya menjalankan tugas mereka sebagai semak dan imbang kepada kerajaan dan bukannya menggunakan platform media sosial sebagai medan menyebarkan fitnah dan kebencian terhadap Perdana Menteri dan Kerajaan,” katanya dalam kenyataan.
Serentak itu, AMK Selangor yang dipimpin Izuan Kasim telah melakukan laporan polis terhadap beberapa pemimpin pembangkang.
AMK Selangor menegaskan kebebasan bersuara tidak bermakna seseorang individu itu boleh menyebarkan maklumat palsu yang berniat jahat.
“Justeru, AMK Selangor memandang serius isu ini dan mendesak agar tindakan keras dapat diambil terhadap mereka yang melontarkan tuduhan yang tidak berasas ini.
“AMK Selangor kekal komited dalam mempertahankan integriti Kerajaan dan Perdana Menteri serta memastikan prinsip keadilan, ketelusan dan kebenaran terus ditegakkan,” katanya.
Najib sebelum ini berjaya mendapat kebenaran memulakan prosiding semakan kehakiman bagi suatu perintah untuk memaksa kerajaan atau enam pihak lain menjawab dan mengesahkan kewujudan titah adendum pada Januari tahun lalu.
Titah adendum berkenaan dikatakan diperkenan Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang membolehkan bekas perdana menteri itu menjalani baki hukuman penjaranya di bawah tahanan rumah, bersabit kesalahan penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.
Melalui penghakiman majoriti 2-1 yang dibacakan Hakim Datuk Seri Mohd Firuz Jaffril, menyatakan bahawa mahkamah tidak boleh mengabaikan fakta dan bukti yang dikemukakan oleh perayu (Najib) dalam kes berkenaan.
Berikutan keputusan mahkamah ada pihak mahu mereka yang bertanggungjawab menyembunyikan titah Yang di-Pertuan Agong dikenakan tindakan undang-undang termasuk dakwaan derhaka terhadap titah raja.- MalaysiaGazette