PUTRAJAYA – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengakui walaupun memiliki pendidikan tinggi serta pengalaman luas dalam dunia politik, beliau masih boleh membuat kesilapan jika mendapat maklumat atau nasihat yang salah.
Dalam pembelaannya bagi prosiding penyelewangan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Najib berkata, walaupun beliau adalah seorang Perdana Menteri namun tugas untuk mentadbir negara serta menggubal dasar bukan dibuat secara bersendirian.
Jelasnya, beliau perlu bergantung kepada ramai individu dan ada antaranya yang boleh memberikan nasihat yang tepat namun ada juga yang memberikan maklumat yang salah.
Najib berkata demikian kerana tidak bersetuju dengan asakan bertalu-talu Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Gharib yang berhujah mengatakan sebagai seorang yang berpengalaman luas serta berpendidikan tinggi, pasti tiada siapa yang boleh memanipulasi dan memperdayakan beliau.
“Itu tidak betul kerana bukan saya seorang yang terajui negara sebaliknya saya juga perlu bergantung harap dengan ramai yang lain.
“Saya tidak boleh meneruskan sesuatu yang saya fikir mungkin tidak dipersetujui oleh Kabinet. Ia bukan keputusan seorang individu. Jika orang yang betul menyokong anda, anda akan membuat keputusan yang betul,” katanya ketika soal balas di hadapan Hakim, Datuk Collin Lawrence Sequerah petang ini.
Sejak awal prosiding bela diri, Najib konsisten mengatakan beliau tidak mengetahui sebarang salah laku dan penyelewengan dana 1MDB yang didalangi Low Taek Jho atau Jho Low serta pihak pengurusan yang bersekongkol dengan ahli perniagaan dalam buruan itu.
Untuk rekod, Najib adalah pemegang saham tunggal 1MDB, Pengerusi Lembaga Penasihatnya (BOA) dan Perdana Menteri ketika itu, adalah pembuat keputusan tertinggi di dalam firma pelaburan terbabit.
Beliau ketika ini dalam proses bela diri terhadap empat pertuduhan menggunakan kedudukan bagi memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 tuduhan pengubahan wang haram.
Prosiding akan bersambung pagi esok dengan Ahmad Akram akan terus menyoal balas Najib di Kompleks Mahkamah Istana Kehakiman -MalaysiaGazette