MELAKA – Seorang warga emas ditahan polis selepas disyaki melakukan amang seksual fizikal ke atas kanak-kanak perempuan berusia enam tahun yang juga anak jirannya, Isnin lalu.
Suspek lelaki berusia 67 tahun dipercayai melakukan perbuatan tersebut ketika kanak-kanak itu sedang bermain di halaman rumahnya di Kampung Rantau Panjang, Masjid Tanah, di sini, pagi 6 Januari lalu.
Pemangku Ketua Polis Melaka Datuk Md Nazri Zawawi berkata, kejadian itu terbongkar selepas mangsa anak kedua daripada tiga beradik menceritakan perbuatan suspek kepada bapanya berusia 31 tahun pada malam hari yang sama.
“Mangsa memberitahu, suspek telah memasukan jari ke dalam seluar dan menggosok kemaluannya sehingga melecet ketika bermain di rumahnya serta memintanya tidak menceritakan perkara itu kepada sesiapa.
“Susulan itu, bapanya pergi ke rumah warga emas berkenaan dan suspek mengaku telah mencabul kemaluan mangsa di hadapan rumahnya ketika tiada individu lain di situ,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.
Tambahnya, pengadu kemudian ke Balai Polis Alor Gajah untuk membuat laporan polis sebelum suspek ditahan oleh Bahagian Siasatan Seksual Wanita dan Kanak-Kanak (D11), Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka.
Tambah Md Nazri, suspek direman selama tujuh hari sehingga 13 Januari ini untuk membantu siasatan kes di bawah Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017,” katanya.
Semalam, MalaysiaGazette melaporkan seorang remaja lelaki berusia 15 tahun direman tujuh hari sehingga 13 Januari ini selepas disyaki mencabul sepupu perempuannya berusia lima tahun di rumah ibu bapanya di Bukit Rambai di sini, November lalu
Perintah tahanan reman ke atas suspek yang tidak bersekolah itu dikeluarkan Khairunnisak Hassni di Mahkamah Majistret Ayer Keroh. – MalaysiaGazette