Datuk Mohd Azis Jamman

KUALA LUMPUR – Parti Warisan Sabah (Warisan) akan menjalinkan kerjasama poliitk dengan parti dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang tidak mempunyai isu intergriti.

Warisan juga tidak akan menjalinkan kerjasama dengan parti yang bergantung dengan pemimpin di Putrajaya.

Ketua Penerangannya, Datuk Mohd Azis Jamman berkata, laporan mengatakan Presiden Warisan, Datuk Seri Shafie Apdal sedia kerjasama dengan GRS secara en-blok juga adalah tidak tepat.

“Apa yang diutarakan oleh Presiden Warisan adalah pelawaan kerjasama kepada parti tempatan seperti Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) ,serta mana-mana parti tempatan yang tidak mempunyai isu intergriti di dalam GRS yang mempunyai keberanian dan ketegasan tanpa perlu merujuk kepada pemimpin di Putrajaya.

“Keutamaan ini adalah untuk memperkukuhkan parti tempatan Sabah dalam menghadapi PRN akan datang, sesuai dengan dinamika politik semasa selain Sabah sewajarnya mencontoi kebijaksanaan rakyat Sarawak memilih para pemimpin mereka,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Isnin lalu, media melaporkan Shafie berkata, GRS menolak banyak pelawaan untuk membincangkan kerjasama dengan parti itu menjelang PRN akan datang.

Memetik Daily Express, bekas ketua menteri itu berkata, sukar untuk merealisasikan hak negeri di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) jika rakyat Sabah tidak bersatu.

Dalam pada itu, Azis mendakwa Warisan masih meragui keikhlasan pemimpin Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) selepas mengambil kira pengalaman lalu parti itu mengadakan rundingan kerjasama.

“Semasa kemelut GRS-UMNO, Presiden Warisan telah menunjukkan kesediaan untuk bekerjasama dengan syarat (Datuk Seri) Hajiji Noor keluar dari Bersatu dan menubuhkan parti tempatan.

“Namun, selepas Gagasan Rakyat ditubuhkan, Gagasan Rakyat memujuk wakil rakyat Warisan melompat parti. Ini antara juga punca timbul isu kepercayaan terhadap keikhlasan Hajiji,” katanya.

Sebelum ini, Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan berkata, pihaknya terbuka untuk GRS bekerjasama dengan Warisan selepas Shafie mendakwa gabungan itu telah menolak banyak pelawaan untuk membincangkan kerjasama menjelang PRN akan datang.

Terbaharu, Ketua Penerangan GRS, Datuk Joniston Bangkuai berkata, cadangan mengundang Warisan menyertai GRS belum dibawa ke perbincangan kepimpinan gabungan mahupun PBS sebagaimana cadangan daripada sayap pemuda parti itu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here