KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengambil keterangan Ahli Undangan Negeri (ADUN) Sungai Burong, Dr. Mohd. Zamri Mohd. Zainuldin bagi membantu siasatan berhubung hantaran palsu melibatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Suruhanjaya itu dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, keterangan Mohd. Zamri itu diambil kelmarin bagi membantu siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Menurutnya, dalam pemeriksaan yang dijalankan bersama PDRM itu, satu unit telefon pintar dan satu unit kad sim milik Mohd. Zamri telah diminta untuk diserahkan sebagai bahan bukti kes bagi membantu siasatan.
“Analisis forensik akan dijalankan ke atas peranti itu untuk siasatan lanjut.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588] yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara satu tahun, atau kedua-duanya sekali,” demikian menurut kenyataan itu.
Terdahulu, tambah kenyataan itu, MCMC menerima aduan orang ramai berhubung akaun-akaun media sosial di platform Facebook yang didapati menyebarkan suatu hantaran palsu mengenai Anwar.
Jelasnya, hasil siasatan mendapati, kebanyakan akaun terbabit merupakan akaun palsu, namun MCMC telah mengenal pasti salah satu daripada akaun itu adalah milik Mohd. Zamri.
“MCMC memohon orang ramai untuk berhati-hati apabila memuat naik sebarang hantaran di media sosial dan memastikan maklumat yang disebarkan adalah benar dan sahih.
“Langkah ini bagi menjamin persekitaran dalam talian yang berintegriti dan selamat demi kesejahteraan rakyat.
Pada 5 Januari lalu, Pakatan Harapan (PH) Selangor membuat laporan polis terhadap Mohd. Zamri yang didakwa mengeluarkan kenyataan bersifat menghina Anwar.
Naib Pengerusi PH Selangor, Azli Yusof berkata, dakwaan yang dibuat bekas penceramah selebriti itu berunsur fitnah terhadap Perdana Menteri yang kononnya menyokong perilaku derhaka kepada Yang di-Pertuan Agong. – MalaysiaGazette