ISKANDAR PUTERI – Seorang juruacara dipukul dan dilarikan sekumpulan individu ketika berada di kedai makan bersama teman wanitanya di Taman Nusa Bestari, Skudai di sini pada 2 Januari lalu.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M Kumarasan berkata, kejadian itu berlaku semasa mangsa sedang makan pada pukul 9 malam sebelum didatangi sekumpulan individu.
Katanya, sekumpulan invidu tersebut kemudian bertindak melarikan mangsa dengan kereta sebelum teman wanitanya membuat laporan polis pada pukul 11.23 malam kejadian.
Teman wanita mangsa yang berumur 29 tahun membuat laporan berhubung kejadian itu di mana sekumpulan lelaki memukul dan melarikan teman lelakinya berusia 34 tahun itu menaiki sebuah kereta.
“Pihak polis kemudian bertindak dan dalam tempoh kurang lima jam dapat menyelamatkan mangsa,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri di sini hari ini.
Katanya, lima suspek ditahan pada pukul 1.20 pagi keesokan harinya di lokasi sekitar Taman Nusa Bestari iaitu tempat sama dengan lokasi mangsa ditemui.
Menurutnya, motif kes tersebut kerana mangsa berhutang lebih RM37,000 dengan rakan-rakannya bagi kegunaan peribadi dan gagal membayarnya.
Beliau berkata, hasil semakan mendapati seorang daripada suspek mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah.
Ujian saringan awal mendapati kesemua suspek negatif dadah dan pihak polis turut merampas dua buah kereta mewah dan sebatang objek keras.
“Empat daripada lima suspek telah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru pada hari ini dan tidak mengaku bersalah atas pertuduhan bawah Seksyen 342 kanun keseksaan bagi pengurungan salah, Seksyen 324 kanun keseksaan bagi kesalahan menyebabkan cedera menggunakan senjata dan Seksyen 323 kanun keseksaan bagi kesalahan menyebabkan kecederaan,” katanya.
Seorang suspek lagi ujarnya, yang tidak dituduh akan dijadikan saksi pendakwaan.- MalaysiaGazette