Hasil dapatan daripada bengkel akan menjadi panduan kepada penambahbaikan Rangka Kerja Awal MyNAP.

KUALA LUMPUR – Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) melancarkan Bengkel MyNAP Kick-Off atau Pelan Adaptasi Kebangsaan Malaysia sebagai langkah strategik menangani cabaran perubahan iklim.

Pelan itu bertujuan menangani kerentanan dalam lima sektor utama seperti sumber air dan pesisir pantai, pertanian, infrastruktur serta biodiversiti.

Ketua Setiausaha NRES, Datuk Dr. Ching Thoo Kim berkata, bengkel ini adalah manifestasi komitmen kerajaan terhadap Perjanjian Paris dan Dasar Perubahan Iklim Negara 2.0 yang terkini.

“Pelan Adaptasi Kebangsaan Malaysia bukan hanya sebuah dokumen dasar dan ia adalah seruan untuk bertindak.

”Inisiatif ini menekankan visi bersama kita untuk Malaysia yang berdaya tahan dan menunjukkan bagaimana perancangan strategik, kerjasama, dan inovasi dapat mendorong kemajuan yang bermakna,” katanya dalam ucapan perasmian menerusi satu kenyataan hari ini.

Thoo Kim turut menyeru lebih banyak syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan sektor swasta memainkan peranan yang lebih besar dalam inisiatif ini.

Menurut beliau, selaras dengan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini, Malaysia mempunyai peluang untuk menetapkan adaptasi iklim sebagai keutamaan serantau yang utama.

“Bersama-sama kita boleh membina Asia Tenggara yang berdaya tahan, bersatu dalam menjaga masa depan kita bersama,” katanya lagi.

Sementara, Bengkel MyNAP Kick-Off dihadiri seramai 100 orang peserta yang terdiri daripada wakil kementerian, kerajaan negeri, sektor swasta, badan akademik dan pertubuhan bukan kerajaan.

Pelbagai aktiviti dijalankan termasuk sesi interaktif, pembentangan pakar dan perbincangan berkumpulan.

Hasil dapatan daripada bengkel akan menjadi panduan kepada penambahbaikan Rangka Kerja Awal MyNAP bertindak sebagai peta hala tuju dalam menangani cabaran iklim negara serta memastikan penyelarasan kerjasama antara sektor yang lebih berkesan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here