Abdukodir Khusanov. Foto IG gssports25.

LONDON – Juara bertahan Liga Perdana Inggeris (EPL), Manchester City dilaporkan berminat dengan pemain pertahanan skuad kebangsaan Uzbekistan, Abdukodir Khusanov pada jendela perpindahan kedua yang sedang dibuka ketika ini.

Pengurus pasukan, Pep Guardiola melihat pemain pertahanan berusia 20 tahun itu sebagai pilihan tepat bagi memastikan pasukannya kembali memberikan saingan bagi mempertahanan kejuaraan.

Dia juga mahu perpindahan Khusanov yang beraksi bersama kelab Ligue 1 Perancis iaitu RC Lens diselesaikan segera.

Bintang muda itu menyertai kelab tersebut pada 2023 daripada kelab Belarusia Energetik-BGU Minsk.

Pada musim pertamanya di Perancis, Khusanov membuat 16 penampilan dalam semua pertandingan sekaligus membuktikan dirinya sebagai pemain pertahanan yang mampu mengisi kesebelasan utama dengan konsisten.

Musim ini, Abdukodir Khusanov menjadi pemain permulaan tetap untuk Lens apabila  tampil dalam 16 daripada 18 perlawanan Ligue 1 dan hanya terlepas dua perlawanan kerana penggantungan selepas insiden kad merah pada November.

Persembahannya telah mendapat perhatian daripada beberapa kelab EPL, termasuk Newcastle United dan Tottenham Hotspur tetapi Man City lebih serius untuk membawanya ke Etihad.

Selain Khusanov, Guardiola juga mahu kelabnya mendapatkan khidmat penyerang Eintracht Frankfurt, Omar Marmoush kerana pemain itu boleh beraksi di beberapa posisi di bahagian serangan.

Marmoush telah menampilkan prestasi cemerlang musim ini, menjaringkan 13 gol dalam 15 perlawanan Bundesliga sambil mengumpul 18 gol dan 12 bantuan dalam semua pertandingan sejak berpindah dari Wolfsburg pada 2023. – Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here