Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (tengah) bersama-sama Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli (kiri) dan Ketua Setiausaha Negara (KSN), Datuk Seri Shamsul Azri Abu Bakar (kanan) merasmikan Forum Ekonomi Malaysia di Kuala Lumpur Convention Center (KLCC). Foto HARI ANGGARA, 9 JANUARI 2025.

KUALA LUMPUR – Dasar Malaysia perlu digubal dengan mengambil kira pendekatan global yang sedang berdepan perubahan dan memerlukan pemikiran serta tindakan lebih teliti daripada semua pihak, kata Menteri Ekonomi Rafizi Ramli.

Menurut beliau, negara-negara kecil, terbuka, dan tidak berpihak (SONA) seperti Malaysia kini diakui telah memainkan peranan penting di pentas dunia.

“Secara khususnya, negara SONA di Asia Tenggara akan memainkan peranan penting kerana profil, pendekatan dan visi rantau ini bertentangan dengan arus global yang sedang bergerak ke arah yang berlawanan.

“Malaysia dan Asia Tenggara mesti mengiktiraf keunikan yang kita miliki untuk mencorak laluan kita sendiri dalam dekad yang menentukan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran Forum Ekonomi Malaysia 2025 yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di sini hari ini.

Rafizi menamabah, Asia Tenggara kini memiliki saiz pasaran dengan 665 juta penduduk yang bakal menjadikan blok itu sebagai ekonomi keempat terbesar dunia.

Katanya, dalam tempoh lima tahun akan datang, populasi kelas pertengahan akan berganda daripada dua dekad lalu untuk menjadi majoriti besar di Asia Tenggara mencapai 65 peratus.

“Ini bermakna populasi kelas pertengahan Asia Tenggara akan melebihi saiz populasi Amerika Syarikat (AS) dan Kesatuan Eropah (EU) menjadikan rantau ini sebagai kuasa pengguna dengan kuasa beli dan taraf hidup yang lebih tinggi.

“Tambahan pula, profil belia dan digital Asia Tenggara menunjukkan bahawa penduduk di rantau ini akan lebih muda, lebih berdaya usahawan dan lebih terhubung secara digital berbanding rantau lain di dunia,” katanya.

Rafizi menambah biarpun rantau lain dijangka mengalami pengecutan, Asia Tenggara diramalkan akan terus berkembang pada kadar mantap sebanyak 4.0 hingga 5.0 peratus untuk dekad yang akan datang. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here