DUA pengarah syarikat dan seorang pegawai agensi sebuah kementerian direman SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya, hari ini kerana dipercayai terbabit rasuah mendapatkan surat tawaran kelulusan LKP.

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman dua pengarah syarikat dan seorang pegawai agensi sebuah kementerian kerana dipercayai terbabit rasuah dalam mendapatkan surat tawaran kelulusan Lesen Kenderaan Perdagangan (LKP) tanpa memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan.

Perintah reman selama empat hari sehingga 12 Januari itu dikeluarkan Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini.

Menurut sumber, ketiga-tiga suspek lelaki berusia lingkungan 40 hingga 50-an itu disyaki terbabit dalam kegiatan mendapatkan surat tawaran kelulusan Lesen Kenderaan Perdagangan (LKP) daripada sebuah agensi tanpa memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh Kementerian Pengangkutan.

“Syarikat-syarikat ini dipercayai telah bersekongkol dengan pegawai-pegawai daripada agensi berkenaan dengan menyediakan maklumat palsu bagi mendapatkan surat tawaran kelulusan permohonan baharu LKP Kelas Lesen Pembawa dengan bayaran sebanyak RM3,500 setiap permohonan.

“Pihak syarikat akan membantu mana-mana pihak memalsukan dokumen seperti penyata bank dan menguruskan proses permohonan termasuk Surat Tawaran Kelulusan (STK), Surat Kelulusan Lanjut Usia (SKLU) bagi membolehkan kenderaan Perdagangan menjalani Pemeriksaan Awalan Puspakom,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, ketiga-tiga suspek bersama lima lagi individu telah ditahan dalam Op Loader dijalankan Bahagian Perisikan SPRM di sekitar Melaka dan Lembah Klang.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya ketika dihubungi mengesahkan penahanan terhadap kesemua suspek dan kes disiasat di bawah Seksyen 16 dan 17 Akta SPRM 2009. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here