KUALA LUMPUR – Hampir 200 lot niaga Bazar Aidilfitri yang terbesar di Lembah Klang iaitu Anjung Syawal di Festival Ramadan Putrajaya (FRP) 2025 habis terjual sejak 1 Januari lalu.
Penganjur yang juga Pengarah Urusan Raydiates Blue Sdn Bhd, Rayme Zainal berkata, baki 100 lot niaga itu dijangka selesai dijual pertengahan bulan ini sekaligus menepis dakwa Bazar Aidilfitri tahun ini tidak meriah seperti kebiasaan.
Menurut beliau, permintaan tinggi lot niaga itu di luar jangkaan pihaknya kerana kebanyakan lot yang dijual dibeli oleh golongan usahawan dan belum melibatkan agensi kerajaan.
“Walaupun terdapat isu yang dimainkan di media sosial yang menasihati peniaga agar tidak berniaga di Bazar Aidilfitri kerana masyarakat tidak lagi gemar secara fizikal namun sambutan di Anjung Syawal di luar jangkaan.
“Malah sebelum kami mengumumkan jualan lot niaga dibuka pada 1 Januari lalu, ramai usahawan yang telah menghubungi untuk membuat tempahan lot itu.
“Dan sehingga hari ini, hampir 200 lot niaga telah habis dijual dengan bayaran penuh oleh peniaga dengan kadar sewa bermula RM3,500 hingga RM6,000 sepanjang Ramadan ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Anjung Syawal dengan kerjasama anjuran Perbadanan Putrajaya yang merupakan Bazar Aidilfitri terbesar di Lembah Klang bakal kembali untuk tahun ke-13 bermula 28 Februari ini selama 33 hari.
Bertemakan ‘Memori Ramadan, Aspirasi Syawal’, pelbagai aktiviti dan reruai akan dilaksanakan dengan konsep kali ini akan menonjolkan serta meraikan kekayaan budaya Melayu dan kesenian Islam yang menjadi tradisi turun temurun di negara ini.
Mengulas lanjut, Rayme menambah, konsep Anjung Syawal kali ini bukan sahaja bertujuan mengekalkan warisan budaya Melayu tetapi juga memasukkan elemen moden dalam sambutan Ramadan dan Syawal.
Menurut beliau, pihaknya juga berhasrat menghubungkan warisan budaya dengan inovasi masa kini, seterusnya berusaha menarik minat semua golongan masyarakat mengenali budaya bangsa terutama generasi muda.
“Sebagai penganjur, kami mahu menerapkan rasa kecintaan terhadap tradisi dan terus menerus menghargainya walaupun masyarakat kini dilanda arus kemodenan digital serta budaya luar.
“Antara kelainan baharu Anjung Syawal adalah memperkenalkan segmen ‘Pangkin Seni dan Serambi Santai’ bagi menyediakan pelbagai aktiviti kebudayaan serta ruang selesa untuk pengunjung beristirehat.
“Bagi mengekalkan tarikan dan kemeriahan pada tahun ini, khemah lutsinar serta berlampu akan turut disediakan di kawasan Anjung Syawal untuk membolehkan pengunjung berbuka puasa bersama ahli keluarga,” katanya. – MalaysiaGazette