KUALA LUMPUR – Honda Malaysia menyasarkan jualan 1,000 unit sebulan bagi model Civic baharu yang dilancarkan hari ini bagi mengukuhkan kedudukannya sebagai pemimpin dalam pasaran segmen C bukan nasional.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, Hironobu Yoshimura berkata, sejak generasi ke-11 diperkenalkan pada tahun 2022, lebih 28,000 unit telah terjual di Malaysia.
Menurut, Civic terus menjadi pilihan utama dalam segmen C bukan nasional selama lapan tahun berturut-turut sejak 2016, dengan penguasaan pasaran sebanyak 81 peratus setakat Oktober 2024.
Civic baharu yang ditawarkan dalam dua varian RS: e:HEV RS dan Petrol RS, memperkenalkan teknologi canggih, termasuk Google Built-In, kemas kini reka bentuk berani dan prestasi hibrid lanjutan Honda.
Ia menggabungkan ciri-ciri canggih dengan legasi penggayaan dan kejuruteraan yang luar biasa Honda.
Katanya, varian e:HEV RS menampilkan sambungan gril hadapan berwarna badan dan hiasan gril bawah, dilengkapi dengan roda aloi Matte Grey 18 inci sementara itu, Petrol RS mempamerkan aksen jeriji dicat hitam untuk tarikan sporty.
Dalam semua varian, sambungan lampu belakang hitam meningkatkan reka bentuk modennya manakala varian RS menerima lambang RS baharu.
Dari segi kuasa, e:HEV RS dilengkapi dengan rangkaian kuasa 2.0L e:HEV yang menawarkan output kuasa maksimum 184PS dan tork 315Nm.
Varian Petrol RS pula dikuasakan oleh enjin 1.5L VTEC Turbocharged, menghasilkan kuasa maksimum 182PS dan tork 240Nm.
Civic ini ditawarkan menerusi empat varian pada harga RM167,900 untuk e:HEV RS, RM149,900 (RS), RM144,900 (V) dan RM133,900 (E).
Ia didatangkan dengan lima pilihan warna iaitu biru Canyon River Metallic, hitam, putih, kelabu dan merah. – MalaysiaGazette