KUALA LUMPUR – Indeks harga seunit besi merekodkan penurunan antara negatif 0.1 peratus hingga negatif 4.6 peratus bagi kebanyakan kawasan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak pada Disember 2024 berbanding bulan lepas.
Penurunan tertinggi bagi indeks harga seunit bahan besi telah dicatatkan di Perak (-4.6%), diikuti dengan Tawau (-2.3%) dan Sandakan (-2.0%), kata Jabatan Perangkaan Malaysia.
Selain daripada itu, indeks harga seunit keratan keluli dan logam turut merekodkan penurunan antara negatif 0.3 peratus hingga negatif 0.8 peratus bagi hampir semua kawasan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak pada Disember 2024 berbanding bulan lepas.
Selain itu, indeks harga seunit simen pula kekal tidak berubah bagi hampir semua kawasan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak pada Disember 2024.
Perbandingan tahunan untuk tempoh Disember 2023 dan Disember 2024 menunjukkan indeks harga seunit simen merekodkan peningkatan antara
0.1 peratus hingga 2.8 peratus bagi kebanyakan kawasan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.
Peningkatan tertinggi indeks ini dicatatkan di Selangor, Kuala Lumpur, Melaka & Negeri Sembilan (2.8%), diikuti dengan Pahang (2.7%) dan masing-masing 1.5% di Pulau Pinang, Kedah & Perlis dan Perak.
Bagaimanapun, perbandingan tahunan indeks harga seunit besi pula mencatatkan penurunan antara negatif 1.7 peratus hingga negatif 9.7 peratus pada Disember 2024 berbanding bulan yang sama tahun lalu bagi kebanyakan kawasan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.
Penurunan tertinggi bagi indeks seunit besi telah direkodkan di Perak (-9.7%).
Dalam pad itu, purata harga simen (Ordinary Portland) pada Disember 2024 kekal tidak berubah berbanding bulan lepas, dengan purata harga RM23.25 per 50 kg sekarung.
Manakala purata harga seunit besi yang terdiri daripada bar bulat keluli lembut dan Mycon 60 high tensile deformed bars pula telah mencatatkan penurunan (-1.1%) dengan purata harga RM3,588.30 bagi setiap tan metrik berbanding bulan sebelumnya (November 2024: RM3,628.90 per tan metrik). – MalaysiaGazette